PM saksikan pertukaran MoU MCMC-MMU tubuh AIX di Cyberjaya
CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Universiti Multimedia (MMU).
Menurut MCMC, MoU berkenaan bakal menyaksikan penubuhan Pusat Transformasi AI (AIX) di Cyberjaya, dengan pelaburan sebanyak RM37 juta.
“AIX menempatkan 13 makmal AI bertaraf dunia dan menjadi hab nasional yang menyatukan kerajaan, industri serta akademia untuk memperkasa inovasi, penyelidikan dan pembangunan tenaga kerja masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, pertukaran MoU tersebut diadakan pada majlis perasmian Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) yang turut dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din di sini hari ini.
MCMC menambah, pihaknya komited untuk memastikan Malaysia bukan sahaja mengikuti perkembangan global, malah muncul sebagai peneraju serantau dalam bidang kecerdasan buatan.
“Usaha ini akan memacu ekonomi digital, memperkukuh inovasi serta memastikan rakyat menikmati manfaat teknologi secara inklusif,” menurut kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













