BERITA SEMASADALAM NEGERI

UTHM perkukuh jaringan global, meterai MoU bersama OISCA

PUTRAJAYA – Usaha Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memperluas kerjasama strategik di peringkat antarabangsa terus diperkukuh selepas menjalin hubungan rasmi dengan Pertubuhan Kemajuan Industri, Kerohanian dan Budaya (OISCA) dari Jepun.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan memaklumkan, kerjasama strategik itu dimeterai menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU) untuk tempoh lima tahun.

“Kerjasama tersebut merangkumi pelbagai bidang termasuk mobiliti dan pembangunan pelajar, penyelidikan bersama, penempatan industri untuk staf akademik, perundingan, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkaitan alam sekitar serta lain-lain bidang yang dipersetujui bersama.

“Ia merupakan antara strategi penting UTHM dalam merealisasikan aspirasi Global Technopreneur University 2030, khususnya dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan mempunyai wawasan global,” katanya.

MoU tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dr Mas Fawzi Mohd Ali dan Naib Presiden Eksekutif OISCA International, Yasuaki Nagaishi dalam satu majlis semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Datuk Seri Ibrahim Ahmad.

Sebagai rekod, OISCA merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan dari Jepun yang berpengalaman lebih enam dekad dalam menjalin kerjasama antarabangsa melalui penglibatan industri, nilai kerohanian dan budaya.

Organisasi itu memiliki lebih 20 pusat latihan, 31 cawangan serta hubungan kerjasama dengan 41 buah negara, sekaligus membuka ruang luas untuk UTHM mengakses pelbagai peluang di peringkat global.

Menurut kenyataan KPT lagi, kerjasama antara UTHM dan OISCA turut meliputi pelaksanaan program mobiliti pelajar, pertukaran pelajar, latihan industri, penyelidikan dalam bidang teknologi dan pembangunan komuniti.

“Sinergi kedua-dua pihak turut merangkumi pemuliharaan alam sekitar yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang didukung kedua-dua pihak,” katanya.

Selain itu, UTHM merancang untuk memperkukuh impak sosial melalui pelaksanaan program khidmat masyarakat, latihan TVET dan kempen kesedaran kelestarian bersama OISCA, selari dengan aspirasi UTHM Prihatin sebagai fungsi teras universiti.

“Kolaborasi ini dijangka mampu merancakkan jaringan industri dan antarabangsa warga UTHM serta membuka ruang kerjasama berimpak tinggi yang bersifat rentas sempadan,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button