BERITA SEMASALUAR NEGARA

Enam maut, dua cedera dalam pesawat perubatan terhempas di Kenya

NAIROBI – Sekurang-kurangnya enam maut manakala dua lagi cedera apabila sebuah pesawat perubatan terhempas di kawasan perumahan berhampiran ibu negara Kenya, Nairobi, semalam.

Pesawat jenis Cessna Citation XLS milik pertubuhan amal Amref Flying Doctors itu berlepas dari Lapangan Terbang Wilson, Nairobi pada pukul 2.17 petang waktu tempatan menuju ke Somaliland, sebelum terhempas di kawasan Ruiru, Kiambu County, 45 minit kemudian.

Menurut Pesuruhjaya Kiambu County, Henry Wafula, kejadian tersebut meragut nyawa empat individu termasuk juruterbang yang berada di dalam pesawat.

“Mangsa di dalam pesawat semuanya maut. Malangnya, dua lagi penduduk di rumah yang dirempuh turut terkorban,” katanya.

Tambah beliau, dua orang awam yang berada di kawasan kejadian turut mengalami kecederaan serius.

Beberapa gambar yang dirakam agensi berita menunjukkan orang ramai berkumpul di lokasi kejadian, manakala pasukan penyelamat daripada Palang Merah Kenya dan anggota kecemasan dilihat menjalankan operasi mencari dan menyelamat di celah-celah serpihan pesawat yang berselerakan.

Al-Jazeera melaporkan seorang penduduk, Tasha Wanjira, memaklumkan pesawat berkenaan dilihat terbakar ketika masih di udara sebelum menjunam ke kawasan kejiranan itu.

“Pesawat itu lalu dekat dengan bangunan kami. Apabila ia terhempas, kelihatan cebisan mayat bertaburan,” ujar seorang lagi saksi, Irene Wangui.

Menurut mangsa yang kehilangan rumahnya, Margaret Wairimu, beliau bersyukur kerana anak-anaknya tiada di rumah ketika kejadian berlaku.

“Saya hilang segalanya, syukur anak-anak tiada bersama. Kalau tidak, entah apa nasib mereka,” katanya dalam nada sebak.

Ketua Pegawai Eksekutif Amref Flying Doctors, Stephen Gitau, mengesahkan bahawa salah sebuah pesawat mereka terlibat dalam insiden tragis itu, namun enggan mengulas lanjut sehingga siasatan lengkap diperoleh.

“Kami kini memberi tumpuan terhadap keselamatan serta kebajikan mangsa yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, pihak Amref akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa penerbangan dan pasukan penyelamat bagi mengenal pasti punca kejadian.

Amref Flying Doctors yang berpusat di Nairobi ditubuhkan pada tahun 1957 dan terkenal sebagai penyedia khidmat kecemasan udara di seluruh rantau Afrika Timur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button