BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Larangan vape secara penuh buka ruang pasaran gelap, cukai progresif lebih munasabah – Pemain industri

KUALA LUMPUR – Larangan penuh terhadap produk rokok elektronik berisiko membuka ruang kepada pasaran gelap yang lebih luas, kata Pengarah Nanostix Innovations Sdn Bhd, Shahabudeen Jalil.

Menurut Shahabudeen, pelaksanaan Cukai Pro-Kesihatan ke atas produk rokok elektronik yang dicadangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dilihat sebagai pendekatan yang lebih munasabah berbanding larangan penuh.

Jelas Shahabudeen, berlakunya kekeliruan apabila beberapa kerajaan negeri telah mengambil langkah lebih awal untuk mengharamkan penjualan vape.

“Ketidaksepaduan dasar ini mencetuskan kebingungan dalam kalangan pengusaha industri, selain menyebabkan pengguna merasa keliru dengan situasi semasa.

“Ia juga hanya akan merumitkan keadaan industri, menghalang pelaburan, dan melambatkan perancangan jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

Baca juga : Penggunaan vape akan diharamkan – Dzulkefly

Pada 27 Julai lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menuju ke arah pengharaman sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape bagi mengekang isu itu secara lebih berkesan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun berkata, pelaksanaan pengharaman itu perlu dibuat secara teliti mengambil kira pelbagai aspek termasuk impak kepada perundangan, penguatkuasaan dan kesihatan awam.

Beberapa kerajaan negeri juga telah mengambil langkah pengharaman penuh penjualan vape antaranya Perlis, Terengganu, Kedah, dan Pahang. Johor dan Kelantan pula menguatkuasakan larangan penjualan produk tersebut masing-masing sejak 2016 dan 2015.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK13 minggu lalu berkata, kerajaan akan memperluaskan Cukai Pro-Kesihatan kepada produk seperti tembakau, vape dan alkohol untuk membendung penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes.

Mengulas lanjut, Shahabudeen berkata, pihaknya berpandangan isu rokok elektronik perlu ditangani dengan pendekatan yang lebih holistik, diplomatik, serta berasaskan data saintifik yang kukuh.

“Kami ingin menegaskan bahawa isu utama yang memerlukan perhatian serius adalah lambakan produk vape haram dan tiruan yang berleluasa di pasaran.

“Produk-produk ini bukan sahaja tidak memenuhi piawaian keselamatan, malah tidak dikenakan cukai dan membawa risiko kesihatan yang lebih tinggi kepada pengguna, selain menyebabkan kerugian hasil negara.

“Sehubungan itu, Nanostix menggesa agar kerajaan memberi keutamaan kepada penguatkuasaan yang lebih berkesan terhadap produk haram dan tiruan, serta mempercepatkan penubuhan badan pengawal selia khusus untuk industri vape di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Shahabudeen berkata, selaku pemain industri, Nanostix sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan serta kualiti produk terjamin.

“Kami turut menyokong penuh sebarang inisiatif kawalan yang bukan sahaja melindungi kesihatan awam, tetapi juga memastikan kelangsungan industri tempatan yang sah dan bertanggungjawab terus berkembang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button