Helah ‘hantar makanan’ gagal, wanita bersuami dicekup bersama duda dalam rumah
KLUANG – Helah lelaki yang mengaku sebagai penghantar makanan gagal memperdaya pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), apabila dicekup bersama seorang wanita di sebuah rumah di Taman Sri Impian, di sini, tengah malam tadi.
Menurut kenyataan JAINJ, lelaki berusia lingkungan 40-an itu cuba melarikan diri melalui pintu belakang rumah ketika serbuan dilakukan sekitar pukul 12.30 tengah malam, namun gagal melepaskan diri.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang wanita berusia 40 tahun yang sudah bersuami ada di dalam salah satu bilik di rumah tersebut dan seorang kanak-kanak sedang tidur.
“Alasan lelaki itu kononnya datang menghantar makanan tidak dapat diterima kerana semakan mendapati dia bukan petugas penghantar makanan berdaftar.
“Tambahan pula, motosikal miliknya diletakkan jauh dari rumah wanita berkenaan, seolah-olah cuba menyembunyikan kehadirannya daripada pengetahuan jiran sekitar,” kata kenyataan itu.
Siasatan awal mendedahkan, kedua-dua individu itu telah saling mengenali sejak setahun lalu selepas berjumpa ketika bersenam di kawasan tasik berhampiran taman perumahan berkenaan.
Sejak pertemuan itu, hubungan mereka menjadi semakin rapat dan kerap berhubung melalui aplikasi WhatsApp, tanpa pengetahuan suami wanita tersebut yang sering bertugas di luar daerah.
Difahamkan, lelaki berkenaan juga menetap di kawasan perumahan sama dan mengambil kesempatan untuk datang ke rumah wanita itu ketika suaminya tiada di rumah.
Kedua-dua mereka kini disiasat mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor atas kesalahan berkhalwat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








