BERITA SEMASAPOLITIK

Pemuda UMNO Johor sokong lima ADUN lantikan, perkukuh institusi DUN

JOHOR BAHRU – Pergerakan Pemuda UMNO Johor menyambut baik pindaan enakmen yang membolehkan pelantikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan sebagai usaha memperkukuh institusi demokrasi dan meningkatkan keberkesanan pentadbiran negeri.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya rang undang-undang pindaan yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.

Menurut beliau, kewujudan ADUN lantikan yang mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam pelbagai bidang mampu meningkatkan mutu perbahasan dan proses penggubalan dasar di peringkat negeri.

Katanya, langkah itu juga diyakini dapat memperkukuh fungsi semak dan imbang dalam sidang DUN, selain membantu institusi legislatif negeri berdepan cabaran pentadbiran semasa yang semakin kompleks.

“ADUN lantikan yang mempunyai pengalaman, datang daripada pelbagai latar belakang serta memiliki kepelbagaian kepakaran dan kewibawaan tertentu akan dapat menambah nilai kepada proses penggubalan dasar, memperkayakan perbahasan legislatif serta meningkatkan mutu semak dan imbang dalam sidang DUN.

“Ikhtiar ini juga penting bagi melengkapkan institusi legislatif negeri dengan pandangan, pengalaman dan keupayaan yang dapat membantu DUN Johor untuk berfungsi dengan lebih efektif, cekap dan berwibawa dalam mendepani cabaran semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Azleen berkata, Pemuda UMNO Johor yakin kerajaan negeri akan memastikan setiap pembaharuan institusi dilaksanakan berteraskan prinsip akauntabiliti, keterangkuman dan kepentingan rakyat.

Menurutnya, pelantikan lima ADUN berkenaan mampu membantu proses membuat keputusan yang lebih matang, seimbang dan berpandangan jauh.

“Demokrasi matang bukan hanya diukur melalui pilihan raya semata-mata, tetapi juga melalui kekuatan institusi, kualiti wacana dan keupayaan sistem menyesuaikan diri dengan tuntutan zaman,” katanya.

Tambah beliau, pindaan tersebut merupakan langkah tepat pada masanya dalam usaha membina DUN Johor yang lebih progresif, kukuh dan berdaya saing demi kesejahteraan rakyat serta masa depan negeri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button