245 kes abai tali pinggang keledar dalam bas direkodkan di Kelantan
KOTA BHARU – Sebanyak 245 kes pelanggaran peraturan membabitkan kegagalan memakai tali pinggang keledar oleh pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan dalam operasi penguatkuasaan sepanjang bulan lalu.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, angka itu direkodkan hasil pemeriksaan ke atas 838 bas ekspres dan 151 bas persiaran di seluruh negeri.
“Daripada jumlah keseluruhan, 244 kes melibatkan bas ekspres, majoritinya membabitkan penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar.
“Empat kes melibatkan pemandu bas ekspres, manakala empat lagi membabitkan bas yang tidak dilengkapi sistem tali pinggang keledar. Satu lagi kes membabitkan pemandu bas persiaran yang tidak memakai tali pinggang ketika bertugas,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Beliau turut mendedahkan bahawa 90 peratus daripada kesalahan yang direkodkan melibatkan penumpang remaja, yang dikenal pasti kurang peka terhadap aspek keselamatan diri semasa menaiki bas.
“Lapan peratus pula melibatkan pemandu yang cuai dan gagal mematuhi peraturan, manakala satu peratus lagi terdiri daripada pelancong asing,” ujarnya.
Bagi meningkatkan kesedaran awam, JPJ Kelantan telah mengarahkan agar pemandu dan petugas kaunter membuat pengumuman berhubung kewajipan memakai tali pinggang keledar sebelum perjalanan bermula.
“Pendekatan ini diyakini mampu memberi peringatan secara langsung kepada penumpang dan pada masa sama mengurangkan risiko dikenakan tindakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pemandu dan penumpang agar sentiasa mematuhi peraturan sedia ada dan memastikan kenderaan yang digunakan dilengkapi dengan tali pinggang keledar yang berfungsi demi keselamatan bersama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








