Anak Allahyarham Ross Ariffin enggan ditemu bual ketika hadir tuntut jenazah bapa
KAJANG – Anak lelaki kepada Allahyarham Ross Ariffin, Adam Roslan, enggan memberi sebarang kenyataan kepada pihak media ketika hadir ke Unit Forensik Hospital Tengku Permaisuri Norashikin (HTPN), tengah hari tadi bagi menuntut jenazah bapanya.
Adam, yang hadir bersama adik perempuannya, dilihat dalam keadaan sebak ketika tiba sekitar pukul 12 tengah hari bagi proses pengecaman jenazah.
Beliau memohon agar pihak media tidak mengganggu atau menemu ramah mereka serta meminta privasi keluarga dihormati dalam waktu duka tersebut.
Kedua-dua anak Allahyarham hadir bagi menuntut jenazah komposer dan pemuzik veteran negara itu yang meninggal dunia pada jam 5.30 petang semalam di hospital berkenaan.
Dalam laporan media pagi ini, pihak pengurusan Unit Forensik Hospital Kajang memaklumkan masih menunggu ketibaan waris Allahyarham Ross Ariffin atau wakil Rumah Seri Kenangan Cheras sebelum sebarang proses pengurusan jenazah dimulakan.
Allahyarham sebelum ini dikatakan tinggal di rumah orang tua berkenaan.
Pihak media dimaklumkan, jenazah Ross kemudian dibawa ke Surau Muhibbah, Taman Muhibbah, Kajang untuk dikafan dan disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan selepas solat Asar.
Allahyarham yang berusia 63 tahun merupakan antara figura penting dalam industri muzik tempatan.
Allahyarham Ross Ariffin, atau nama sebenarnya Roslan Ariffin Jamil, meninggalkan kesan yang besar dalam dunia seni suara tanah air dan pernah terlibat dalam pelbagai produksi serta persembahan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Antara artis yang pernah membawakan lagu ciptaan Allahyarham adalah Fauziah Latiff, Ning Baizura, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Aishah, Jaclyn Victor dan ramai lagi.
Pemergian beliau disifatkan satu kehilangan besar buat industri muzik negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















