Influencer tidak wajar sebar spekulasi, isu ‘Diari Zara’ perlu siasatan menyeluruh – Mona Din
KUALA LUMPUR – Aktivis kemanusiaan, Mona Din menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan segelintir individu berpengaruh di media sosial yang didakwa menyebarkan spekulasi berhubung penemuan ‘Diari Zara’ sehingga menimbulkan kekeliruan dan mengganggu siasatan kes kematian tragis remaja terbabit.
Menurut beliau, tindakan tersebut bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah boleh mencetuskan fitnah serta menjejaskan integriti siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.

“Saya terus berbincang dengan pasukan #JusticeForBella dan kami sepakat menolak tulisan dan pernyataan tersebut. Saya marah dan anggap ia satu fitnah jahat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Katanya, isu berkenaan tercetus susulan kenyataan tiga influencer termasuk Akhi Fairuz dan Amin Idris yang mendakwa wujudnya ‘plot twist’ dalam kes Zara Qairina sehingga mengundang kemarahan netizen.
Mona turut mendedahkan, ibu kepada arwah Zara sendiri menafikan dakwaan tersebut termasuk tuduhan kononnya satu laporan bedah siasat telah dibuat.
“Sedangkan kata ibu Zara, tidak ada langsung post-mortem dibuat,” tegas beliau.
Dalam pada itu, seorang lagi aktivis, Marhamah Rosli yang mewakili ibu Zara turut tampil menafikan tulisan dalam ‘diari’ berkenaan adalah milik anaknya, sambil menyifatkannya sebagai tidak sahih dan bersifat fitnah.
Mona seterusnya menggesa agar ibu Zara membuat laporan polis serta kenyataan media rasmi bagi menuntut tindakan lanjut termasuk penubuhan unit khas siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan khas di Papar.
“Tindakan tegas perlu diambil bagi menyiasat isu kebocoran maklumat hingga diari tersebut boleh sampai ke tangan awam. Perlu disahkan ketulenan diari, kandungan serta tulisan tangan Zara.
“Pihak keluarga juga wajar diberi akses terhadap bahan tersebut untuk siasatan forensik secara bebas,” ujarnya.
Mona turut mendesak agar siasatan dilakukan terhadap tiga influencer terbabit yang didakwa menyalahkan dan menuduh ibu mangsa berdasarkan maklumat yang belum disahkan.
“Mereka mendakwa menerima maklumat daripada pihak berautoriti. Dedahkan siapa pihak berkenaan yang telah membocorkan bahan siasatan,” katanya lagi.
Tambah beliau, tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya menambahkan tekanan terhadap keluarga mangsa dan memberi persepsi berat sebelah terhadap arwah Zara.
“Ini adalah ketidakadilan yang dahsyat terhadap arwah, ibu dan keluarga. Kita menuntut ketelusan dan keadilan sepenuhnya,” tegasnya.
Isu ‘Diari Zara’ mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warganet sejak beberapa hari lalu dan menimbulkan kebimbangan berhubung ketirisan maklumat serta gangguan terhadap siasatan yang sepatutnya dijalankan secara profesional, beretika dan amanah.
Terdahulu, Allahyarham Zara Qairina disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama di sebuah sekolah di Papar, Sabah.
Namun begitu, keluarga mangsa tampil menolak dakwaan tersebut dan percaya Zara mungkin menjadi mangsa buli atau penderaan sebelum meninggal dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







