Lebih 88,000 peniaga mikro berdaftar bukti kejayaan inisiatif PLATS
SHAH ALAM – Pendaftaran lebih 88,000 peniaga mikro di bawah inisiatif Platform Selangor (PLATS) sejak dilancarkan pada 2020 membuktikan kejayaan usaha Kerajaan Selangor dalam memperkasa ekonomi digital rakyat negeri ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PLATS bukan sekadar sebuah program bantuan, sebaliknya telah berkembang menjadi satu ekosistem keusahawanan digital yang menyeluruh, inklusif dan mampan.
Beliau berkata, sejak dilancarkan pada tahun 2020, PLATS telah menjadi pemangkin kepada para usahawan kecil khususnya yang terjejas akibat pandemik, bermula dengan penganjuran Bazar Ramadan Digital pertama di Malaysia.
“Kini, lebih 88,000 peniaga mikro telah berdaftar dan menyertai pelbagai program di bawah PLATS. Mereka bukan sekadar menerima akses kepada digitalisasi malah dibimbing melalui latihan, menerima bantuan pembiayaan, dan paling penting, diberi peluang untuk berkembang secara inklusif.
“Kisah mereka yang memulakan perniagaan dari rumah, dari gerai kecil, dari pasar malam dan hari ini berjaya mengorak langkah ke dunia digital, membina jenama dan menarik pelanggan dari seluruh pelusuk negeri, malah luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) 2025 di sini, malam ini.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan perasmian MAPS 2025 dan menyampaikan anugerah kepada usahawan yang memenangi pelbagai kategori yang ditetapkan.
Anugerah itu termasuk Anugerah Utama Usahawan Mikro, Anugerah kategori khas (Komuniti, Wanita, Muda, Inovasi dan Revolusi Teknologi) dan 12 usahawan mikro terbaik peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Turut diumumkan, sepuluh usahawan menerima tajaan RM5,000 seorang melalui Program U-PLATS Halal, dengan empat telah memperoleh pensijilan halal sebelum 30 Julai lalu.
Jelas Amirudin, kejayaan PLATS tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama strategik pelbagai agensi dan institusi yang bertindak sebagai tulang belakang kepada pelaksanaan program.
Antara rakan strategik PLATS yang dikenal pasti termasuk PERNAS, MYNIC, SIRIM, Selangor Technical Development Centre (STDC), Media Selangor, Red Giants Creative House (RGCH), Agrobank, Yayasan Hijrah Selangor serta Selangor Youth Community (SAY).
“Dalam Majlis Jalinan Sinergi & Apresiasi Rakan Strategik PLATS 2025 baru-baru ini, kita memperkenalkan dan menghargai mereka yang menyediakan latihan, pembiayaan, kemudahan pensijilan, infrastruktur teknologi dan promosi.
“Kita juga mengiktiraf peranan 12 PBT melalui Pegawai Perhubungan Usahawan yang memainkan peranan aktif di peringkat komuniti,” katanya.
Dalam ucapannya, Menteri Besar turut menegaskan bahawa PLATS kini menjadi dasar pembangunan negeri di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1), khususnya dalam teras ekonomi dan sektor tumpuan ekonomi digital.
“Ia bukan lagi program ad hoc. Ia kini dasar pembangunan negeri berjangka panjang, bersifat mampan dan inklusif.
“Kita mahu memastikan kejayaan ekonomi negeri ini turut dirasai oleh penjaja, pengusaha warung, penjual makanan tepi jalan dan semua yang gigih mencari rezeki untuk keluarga,” ujar beliau.
Amirudin turut mengajak semua pihak termasuk agensi kerajaan, pemain industri dan institusi kewangan untuk terus berganding bahu membangunkan usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PMKS).
“Kita mahu lahirkan usahawan mikro hari ini sebagai pemilik perniagaan berjaya pada masa depan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








