Warden tahfiz dipenjara enam tahun, empat sebatan liwat dan cabul tujuh pelajar
SEREMBAN – Seorang warden pusat tahfiz dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas 12 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan liwat terhadap tujuh pelajar lelaki berusia antara sembilan hingga 12 tahun.
Tertuduh, Mohd Khairi Fitri Baharom, 38, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun selepas tamat menjalani hukuman.
Hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 25 Mei lalu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, enam pertuduhan pertama melibatkan kesalahan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap lima pelajar lelaki di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.
Manakala enam lagi pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar lain, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Kesemua perbuatan itu didakwa berlaku antara Mac 2024 hingga Januari 2025 di dua lokasi berasingan iaitu pusat tahfiz di Batu Kikir, Jempol dan sebuah rumah di Kampung Rembang Panas, Kuala Pilah.
Tertuduh yang juga guru di pusat tersebut diwakili peguam Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie yang merayu hukuman diringankan atas alasan anak guamnya masih bujang dan menanggung ibu yang uzur.
Namun Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni bersama Nurul Balkis Zunaidi memohon hukuman berat sebagai pengajaran kerana tertuduh telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai pendidik dan warden.
“Sebagai orang yang diberi amanah menjaga anak-anak ini, tertuduh sepatutnya menjadi pelindung, bukan pemangsa,” katanya lagi.
Kes itu mendapat perhatian masyarakat dan sekali lagi mencetuskan gesaan agar institusi pendidikan agama lebih berwaspada serta memperketat mekanisme pemantauan bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





