Panglima ATM ketuai misi perdamaian ke Bangkok dan Phnom Penh
Kenyataan Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan
KUALA LUMPUR – Malaysia terus memainkan peranan proaktif dalam menjamin kestabilan serantau apabila Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar mengetuai delegasi khas ke Bangkok dan Phnom Penh bagi menjayakan pemeteraian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.
Misi berprofil tinggi itu menyaksikan Malaysia bertindak sebagai pengantara utama susulan Sidang Khas Tiga Hala yang berlangsung baru-baru ini sekaligus membawa kepada gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat berkuat kuasa tepat pukul 12 tengah malam, semalam.
Menurut kenyataan Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, lawatan diplomatik itu membuka laluan kepada rundingan awal bagi menamatkan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.
“Delegasi Malaysia yang diketuai Panglima ATM berjaya mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin pertahanan Thailand dan Kemboja, sekali gus membawa kepada persetujuan gencatan senjata dan komitmen untuk tidak menyerang orang awam,” kata kenyataan itu.

Meskipun terdapat laporan insiden kecil selepas gencatan dikuatkuasakan, keadaan berjaya dikawal selepas Komander Wilayah Thailand dan Kemboja mengadakan mesyuarat tergempar pada 10 pagi tadi bagi memperkukuh semula perjanjian damai tersebut.
Antara ketetapan baharu yang dicapai termasuk pematuhan gencatan senjata sepenuhnya; menghentikan penambahan kekuatan ketenteraan; menubuhkan pasukan penyelarasan empat wakil dari setiap negara; memulangkan anggota tentera yang cedera dan terkorban serta menunggu hasil Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Umum (GBC) yang dijadual berlangsung pada 4 Ogos 2025.
Selain itu, delegasi Malaysia dijangka meneruskan misi keamanan melalui lawatan ke Phnom Penh bagi memperincikan pelaksanaan rundingan susulan bersama pihak Kemboja.
Langkah itu sekali lagi membuktikan peranan Malaysia sebagai pendamai serantau yang komited terhadap penyelesaian konflik secara diplomatik demi kestabilan dan keselamatan Asia Tenggara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








