BERITA SEMASA

PU Abu, 42 jemaah umrah terkandas di Jeddah, dakwa agensi gagal sedia tiket pulang

KUALA LUMPUR – Bekas peserta program Pencetus Ummah, Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi atau PU Abu, mendedahkan beliau bersama 42 jemaah umrah terkandas di Jeddah selepas agensi pengurusan perjalanan gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke tanah air.

Menerusi satu video yang dimuat naik di Instagram, PU Abu berkata, kumpulan jemaah dijadualkan pulang ke Malaysia pada malam ini namun dimaklumkan tiada tempahan tiket dibuat oleh pihak agensi terbabit.

“Kami terpaksa bermalam lagi di situ tanpa sebarang kepastian sama ada akan dapat pulang esok atau tidak,” katanya dalam satu hantaran di Instagramnya.

Beliau mendakwa, pihak agensi yang bertanggungjawab menguruskan penerbangan mereka seperti tidak bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan isu tersebut mengikut jadual yang telah dijanjikan.

“Saya telah berhubung dengan pihak kedutaan dan mereka akan cuba membantu. Tujuan saya buat video itu adalah supaya ia dapat dipanjangkan dan diviralkan dengan harapan ada pihak yang tampil membantu kami pulang secepat mungkin,” ujarnya.

PU Abu turut menyuarakan kebimbangan mengenai beban kewangan yang ditanggung oleh jemaah, termasuk kos penginapan, makanan dan pengangkutan, yang menurutnya mencecah ribuan ringgit.

“Saya kasihan melihat wajah jemaah yang rata-ratanya berusia 40-an hingga 60-an. Mereka keletihan selepas mengerjakan umrah tetapi terpaksa berdepan situasi seperti ini,” katanya.

Beliau turut merayu agar pihak yang bertanggungjawab tampil menyelesaikan isu tersebut segera dan secara berhemah.

“Selesaikan dengan cara seorang lelaki menyelesaikannya. Usaha hingga ke titisan darah terakhir,” tambahnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button