Kerjasama dengan Saudi Airlines, Andalusia tawar 70,000 tempat duduk penerbangan
KUALA LUMPUR – Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Saudi Airlines, dengan jaminan 70,000 tempat duduk penerbangan untuk jemaah umrah bagi Musim 1447 Hijrah.
Majlis menandatangani MoU itu menandakan langkah besar ke arah memperkukuh pengurusan logistik umrah serta membina laluan baharu pelancongan rohani melalui kerjasama strategik antara dua organisasi besar dalam industri haji dan umrah.
Menurut Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris, perjanjian itu akan memastikan para jemaah Andalusia akan mendapat tempat duduk yang dijamin sepanjang musim baharu ini.
“Dengan termeterainya MoU ini, bakal jemaah umrah Andalusia boleh merasa yakin bahawa tempat duduk bagi pakej yang menggunakan Saudi Airlines telah terjamin.
“Ini membuka ruang kepada perancangan yang lebih lancar dan tersusun,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, Saudi Airlines turut menawarkan kemudahan visa transit percuma selama 96 jam dengan caj minimum yang membolehkan jemaah singgah di Jeddah atau Madinah untuk menunaikan umrah sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seperti Istanbul, Kaherah, London dan lain-lain.
Beliau juga menekankan bahawa fleksibiliti itu amat bernilai untuk pembangunan pakej Umrah Plus yang semakin mendapat sambutan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Melalui Saudi Airlines, jemaah boleh melaksanakan umrah ketika transit. Visa ini hampir percuma dan kami boleh padankan pakej umrah dengan pelbagai destinasi seperti Istanbul, London, dan Kaherah,” katanya.
Katanya lagi, Andalusia bakal memperkenalkan lebih banyak pakej umrah dan ziarah ke destinasi menarik dalam Arab Saudi seperti Riyadh, Abha dan Mada’in Saleh bagi memanfaatkan sepenuhnya jaringan penerbangan Saudi Airlines.
“Abha contohnya sebuah bandar pelancongan yang cantik, beriklim sejuk, dengan pantai dan kawasan gunung.
“Kami mahu bawa jemaah meneroka lebih banyak lokasi yang belum pernah dilihat,” ujarnya.
Sementara itu, Penolong Pengurus Andalusia Travel, Zamri Zakaria berkata, Saudi Airlines kini terbang ke lebih 10 destinasi baharu, termasuk Viana, Nice, Athens dan Salalah yang membolehkan Andalusia membangunkan pakej-pakej istimewa merangkumi pengalaman ibadah dan santai.
“Kami mahu orang melihat Saudi Airlines bukan hanya sebagai penerbangan umrah tetapi juga sebagai pintu masuk kepada pelancongan Muslim yang lebih luas, meliputi Timur Tengah, Eropah dan Afrika Utara,” katanya.
Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel, Datuk Md Daud Che Ngah turut berkongsi pengalamannya menaiki Saudi Airlines dan memuji keprihatinan kru penerbangan yang sentiasa memberi peringatan tentang waktu solat serta nasihat mengenai cara mengambil wuduk ketika dalam penerbangan.
“Apabila kru penerbangan mengingatkan waktu solat, itu satu rahmat.
“Kita pergi untuk ibadah dan apabila mereka bantu kita jaga waktu solat itu benar-benar menyentuh hati,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ida turut mengumumkan bahawa kempen promosi Payday Sales akan bermula pada 25 Mei ini selama seminggu, menawarkan pelbagai pakej umrah pada harga istimewa sempena musim gaji.
“Kami galakkan umat Islam yang berhajat menunaikan umrah untuk mengambil peluang ini.
“Inilah masa terbaik untuk mendapatkan pakej Andalusia dengan harga promosi,” tambahnya.
Majlis MoU ini diyakini membuka lembaran baharu dalam kerjasama dua hala yang bakal memberi manfaat jangka panjang kepada industri umrah dan pelancongan Islam di Malaysia dan serantau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








