KKM sahkan program diserbu polis Kelantan bertujuan kesedaran HIV bukan ‘parti gay’
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan program yang diserbu polis di Kelantan bulan lalu sebenarnya merupakan aktiviti kesedaran kesihatan berkaitan HIV dan bukannya ‘parti gay’ seperti didakwa.
Pengesahan itu dibuat oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi kenyataan di platform X semalam, sebagai maklum balas kepada satu hantaran yang memintanya menjelaskan tujuan sebenar program berkenaan.
Bagaimanapun, KKM tidak mengulas lanjut mengenai operasi yang dijalankan oleh pihak polis dalam insiden tersebut.
Dalam kenyataan yang dikongsikan, Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin menjelaskan aktiviti itu merupakan program jangkauan komuniti anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Pengantara Pesakit Kelantan (Sahabat) yang bernaung di bawah Yayasan AIDS Malaysia.
“Kerjasama antara KKM, Jabatan Kesihatan Negeri dan NGO kesihatan adalah penting dalam usaha menjangkau populasi berisiko tinggi. Ini bagi meningkatkan pengetahuan tentang strategi pencegahan, kepentingan diagnosis awal serta manfaat rawatan bagi mengelakkan komplikasi serius,” jelas kenyataan itu.
Menurutnya, pendidikan kesihatan amat penting untuk melindungi bukan sahaja individu yang berisiko tetapi juga kontak rapat seperti pasangan dan anak-anak daripada jangkitan HIV.
Dr Zaini turut memaklumkan Sahabat telah menjadi rakan strategik Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan sejak tahun 2006 dalam melaksanakan program pendidikan kesihatan dan aktiviti lapangan yang menyasarkan golongan berisiko tinggi seperti penagih dadah suntikan dan lelaki yang melakukan hubungan seks sesama lelaki.
“Fokus utama adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang jangkitan HIV, penyakit kelamin dan Hepatitis C,” katanya.
KKM turut menegaskan komitmennya terhadap pendekatan kesihatan awam yang memberi penekanan kepada pencegahan, intervensi awal dan akses rawatan untuk semua dengan mengambil kira nilai agama dan sensitiviti budaya masyarakat.
Terdahulu, pada 17 Jun lalu, polis dilaporkan menyerbu program tersebut pada pukul 1 pagi dengan merampas ubat HIV serta kondom.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Yusoff Mamat memaklumkan, operasi dilakukan berdasarkan risikan pasukan khas susulan aduan awam berkenaan satu acara bertemakan makanan yang didakwa dianjurkan untuk komuniti gay.
Namun, beberapa NGO yang terlibat menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan program tersebut bertujuan memberikan maklumat kesihatan seksual serta HIV, mengedar kondom dan menjalankan ujian saringan secara sukarela.
Majlis AIDS Malaysia, yang turut terlibat dalam program itu menjelaskan sesi dijalankan pada waktu malam bagi menjaga kerahsiaan peserta.
Ujian HIV mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit dan peserta yang menunjukkan keputusan reaktif akan diberikan kaunseling serta dirujuk untuk rawatan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







