Kerajaan perkemas penguatkuasaan keselamatan pengendali, pemandu bas
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperkemas aspek penguatkuasaan terhadap keselamatan pengendali dan pemandu bas susulan kemalangan yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Jun lalu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, laporan awal insiden berkenaan telah dibentangkan oleh Menteri Pengangkutan kepada Jemaah Menteri dan beberapa langkah penyelesaian sedang dirangka.
“Antara perkara yang akan disusuli oleh Kementerian Pengangkutan termasuklah tindakan penguatkuasaan bukan hanya terhadap mereka yang bertanggungjawab, tapi juga secara umumnya meneliti aspek keselamatan bagi pemandu-pemandu bas.
“Baru-baru ini ada dimaklumkan tentang jumlah saman yang tertunggak melibatkan pelbagai mod kenderaan termasuk juga pengendali bas.
“Jadi, Menteri Pengangkutan, insya Allah, dalam masa terdekat akan mengusahakan tindakan penguatkuasaan yang lebih terancang, tersusun dan menyeluruh untuk memastikan pemandu-pemandu bas yang sekiranya ada apa-apa isu, maka dapat diambil tindakan awal,” kata Fahmi dalam sidang media mingguannya di bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, bentuk penguatkuasaan tersebut akan melibatkan kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) manakala pelaksanaannya akan diselaraskan sepenuhnya oleh Kementerian Pengangkutan.
“Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan sebelum ini, siasatan terhadap kes ini bukan hanya tertumpu kepada kemalangan membabitkan pelajar UPSI, sebaliknya akan diperluas kepada keseluruhan industri pengangkutan awam khususnya melibatkan pengendali bas.
“Langkah ini penting bagi memastikan tahap keselamatan sentiasa dipertingkatkan dan tidak menjejaskan nyawa penumpang,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan penguatkuasaan itu dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak Kementerian Pengangkutan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








