Bacaan IPU tidak sihat di Nilai cecah 162
KUALA LUMPUR – Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Nilai, Negeri Sembilan terus mencatatkan peningkatan apabila mencecah tahap 162 setakat pukul 3 petang ini, menjadikannya kawasan paling terjejas dengan kualiti udara tidak sihat di Malaysia.
Menurut data dari laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), dua lagi kawasan di Selangor turut merekodkan bacaan tidak sihat iaitu Johan Setia dan Banting, masing-masing pada bacaan 154.
Sementara itu, Putrajaya mencatat bacaan IPU 119, masih dalam kategori tidak sihat bagi golongan sensitif.
Sebanyak 58 kawasan lain di seluruh negara pula direkodkan berada pada tahap sederhana (bacaan IPU 51 hingga 100).
Antaranya termasuk Kota Tinggi, Johor (59); Seri Manjung, Perak (73); Petaling Jaya, Selangor (86) dan Port Dickson, Negeri Sembilan (94).
Dalam perkembangan positif, hanya enam kawasan di Malaysia Timur mencatatkan bacaan IPU tahap baik (0–50), kesemuanya terletak di Sabah dan Sarawak.
Kawasan tersebut ialah Serian (50), Sibu (46), Samarahan (42) dan Sri Aman (37) di Sarawak; Tawau (50) dan Kimanis (48) di Sabah.
Pencemaran udara di Malaysia lazimnya dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk pelepasan asap kenderaan, pembakaran terbuka, pelepasan industri serta jerebu rentas sempadan yang berlaku pada musim kemarau.
Tahap IPU antara 101 hingga 200 diklasifikasikan sebagai tidak sihat dan boleh memberi kesan kepada kesihatan khususnya kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka yang menghidap penyakit pernafasan.
Pihak berkuasa sebelum ini telah menasihati orang awam supaya mengurangkan aktiviti luar ketika bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat serta sentiasa memantau perkembangan semasa melalui saluran rasmi seperti laman web APIMS dan aplikasi MyIPU.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk memakai pelitup muka jika perlu berada di luar dan memastikan pengambilan air mencukupi bagi mengurangkan kesan pencemaran terhadap kesihatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








