BERITA SEMASA

JKN Kelantan nafi anjur program berkait LGBT di Kemumin

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan hari ini menafikan penglibatan mereka dalam penganjuran program komuniti yang dikaitkan dengan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di sebuah banglo di Kampung Kemumin, Pengkalan Chepa, baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin menjelaskan bahawa program berkenaan dianjurkan sepenuhnya oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar di bawah Majlis AIDS Malaysia (MAC) dan bukannya di bawah kendalian Pejabat Kesihatan Daerah Kota Jembal atau JKN Kelantan.

“Program itu bukan anjuran kami. Pegawai kesihatan daerah hanya dijemput untuk menyampaikan ceramah kesihatan dalam salah satu sesi dan tidak terlibat dalam penyelarasan keseluruhan program,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut beliau lagi, NGO tersebut menjalankan kerjasama strategik dengan MAC serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha membendung isu kesihatan awam berkaitan HIV/AIDS, termasuk melibatkan komuniti berisiko.

Dr. Zaini turut memaklumkan bahawa maklumat yang diterima menunjukkan serbuan pihak polis dilakukan selepas program kesihatan tamat dan bukan ketika sesi ceramah sedang berlangsung.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, tindakan serbuan ke atas banglo berkenaan dibuat selepas pihak berkuasa memperoleh bukti kukuh berkaitan aktiviti yang mencurigakan.

“Seramai lebih 100 individu dikenal pasti hadir ke program tersebut, dan siasatan mendapati ia membabitkan komuniti LGBT.

“Tiga lelaki ditahan kerana memiliki video lucah melibatkan lelaki dan seramai 20 individu lain telah diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Pihak polis turut merampas ratusan kondom dan ubat HIV yang ditemukan di salah sebuah bilik di lokasi kejadian.

Terdahulu, media melaporkan mengenai serbuan ke atas sebuah banglo di Kemumin selepas pihak polis menerima aduan mengenai satu perhimpunan yang dipercayai melibatkan komuniti gay.

Kes disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button