Pearly-Thinaah mara ke final Terbuka Jepun
TOKYO – Beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah melakar kejayaan bermakna apabila mara ke final Kejohanan Badminton Terbuka Jepun, sekali gus berada selangkah lagi untuk mencipta sejarah sebagai gandingan wanita pertama Malaysia menjuarai kejohanan bertaraf Super 750 itu.
Pasangan yang juga pilihan utama negara itu mengejutkan beregu pilihan kedua dunia dari Jepun, Chiharu Shida-Nami Matsuyama dalam aksi separuh akhir yang berlangsung semalam.
Lebih manis, kejayaan itu memadam rekod buruk mereka sebelum ini yang hanya menang dua daripada 15 pertemuan menentang pasangan handalan Jepun tersebut.
Pearly-Thinaah dijadualkan berdepan cabaran getir di pentas final apabila bertemu pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.
Mereka sebelum ini pernah tewas kepada gandingan itu dalam saingan Terbuka Indonesia bulan lalu.
Menurut Thinaah, kemenangan ke atas pasangan Jepun itu menyuntik motivasi besar buat mereka menjelang aksi penentuan kejuaraan.
“Kami tidak terlalu fikir soal mata, hanya fokus untuk dapatkan setiap mata yang boleh. Semangat antara satu sama lain sangat membantu.
“Kini kami akan berehat, buat persiapan dan bincang bersama jurulatih. Di pentas final nanti, kami mahu berikan segala-galanya,” katanya lagi.
Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam acara beregu wanita di kejohanan itu sebelum ini dicatatkan pada 2008 menerusi Wong Pei Tty-Chin Eei Hui yang muncul naib juara.
Sementara itu, impian Malaysia untuk menghantar lebih ramai wakil ke pentas final tidak kesampaian apabila dua lagi beregu negara terkandas di separuh akhir.
Beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terpaksa akur tewas 12-21, 16-21 kepada pasangan China, Jiang Zhenbang-Wei Yaxin.
Nasib serupa turut menimpa beregu lelaki Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang tunduk straight set 14-21, 15-21 kepada pasangan pilihan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








