Kereta dipercayai milik lelaki sakit jantung ditemui dalam sungai di Muar
MUAR – Misteri kehilangan seorang lelaki sejak semalam hampir terungkai apabila sebuah kereta dipercayai milik mangsa ditemui tenggelam dalam sungai di daerah ini, hari ini.
Mangsa, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, sebelum ini dilaporkan hilang selepas keluar dari kediamannya di Jalan Setia Indah, Johor Bahru kira-kira pukul 12 tengah hari semalam, dengan tujuan ke bengkel rakannya di Parit Jawa.
Menurut isterinya, mereka masih sempat berhubung sehingga pukul 4 petang sebelum semua panggilan dan mesej tidak lagi dijawab.

Bimbang akan keselamatan suaminya yang pernah mengalami serangan jantung ketika memandu, beliau segera membuat laporan polis.
“Saya bimbang kerana suami pernah diserang sakit jantung ketika memandu sebelum ini. Kami cuba hubungi selepas pukul 4 petang tetapi tiada maklum balas,” katanya memetik laporan portal Majoriti.
Keluarga turut mengesan lokasi terakhir mangsa menerusi aplikasi penjejak telefon di kawasan Jalan Bukit Kepong – Lapis (koordinat: 2.35845° U, 102.83936° T), sebelum memulakan pencarian fizikal di sekitar Lenga, Bukit Kepong dan pekan Muar sekitar pukul 1 pagi tadi, namun tidak menemui sebarang petunjuk.
“Kami amat risau dan mengharapkan bantuan orang ramai serta pihak polis untuk mengesan suami saya. Telefon bimbitnya juga gagal dikesan,” katanya lagi.
Sementara itu, usaha menghubungi rakan suaminya di Parit Jawa mendapati mangsa tidak pernah tiba di bengkel berkenaan seperti dimaklumkan sebelum keluar rumah.
Terkini, tular di media sosial beberapa gambar menunjukkan sebuah kereta tenggelam dalam sungai yang dipercayai milik mangsa.
Seorang rakan mangsa, Mohd. Nazri, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
“Ya, kereta itu memang milik Nizaruddin. Buat masa ini, kami masih menunggu bantuan pihak bomba untuk mengangkat kereta itu. Saya tidak dapat beri sebarang kenyataan lanjut setakat ini,” katanya ringkas.
Setakat laporan ini ditulis, polis masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung penemuan kenderaan terbabit.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








