KKM tiada kuasa campur tangan kes sitaan aset hospital swasta – Dr Dzulkefly
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan dalam kes sitaan aset melibatkan sebuah hospital swasta di Bangi, susulan keputusan mahkamah berkaitan tuntutan kecuaian perubatan berjumlah RM8.32 juta.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, keutamaan kementerian pada masa ini adalah memastikan semua pesakit dipindahkan ke fasiliti kesihatan lain dengan selamat dalam tempoh 14 hari yang telah ditetapkan oleh mahkamah.
“Kita mahu proses pemindahan pesakit dilakukan secara baik dan berkesan bagi memastikan continuity of care terjamin, khususnya bagi pesakit kritikal, kes kebergantungan tinggi dan mereka yang menjalani rawatan jangka panjang.
“Ini sangat penting agar rawatan pesakit tidak terjejas atau terkompromi,” katanya pada sidang akhbar Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan anjuran KKM di ibu negara.
Baca juga : 2,248 pegawai perubatan terima penempatan
Baca juga : 1,500 pesakit kanser terima rawatan percuma hasil kerjasama KKM–IHH
Beliau turut menegaskan bahawa kes tersebut merupakan tindakan sivil melalui proses mahkamah dan tiada sebarang penglibatan atau campur tangan daripada pihak kementerian.
Namun begitu, beliau mengingatkan semua pengendali hospital swasta supaya sentiasa mematuhi peruntukan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
“Walaupun kementerian tidak terlibat dalam isu liabiliti korporat atau kebankrapan, KKM tetap bertanggungjawab untuk memastikan kebajikan dan keselamatan pesakit terus terpelihara,” ujarnya lagi.
Terdahulu, hospital terbabit dikenakan writ penyitaan dan penjualan selepas gagal membayar pampasan sebanyak RM8.32 juta dalam satu kes kecuaian perubatan yang telah diputuskan oleh mahkamah.
Hospital berkenaan diberi tempoh sehingga 23 Julai ini untuk melunaskan bayaran tersebut sebelum barangan yang disita diperintahkan untuk dilelong.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








