
1,500 pesakit kanser terima rawatan percuma hasil kerjasama KKM–IHH
KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,500 pesakit kanser dari seluruh negara bakal menerima rawatan percuma hasil kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan IHH Healthcare Berhad yang dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) kali ketiga antara kedua-dua pihak hari ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerjasama strategik awam-swasta itu telah dimulakan sejak tahun 2022 dan memberi kesan positif dalam usaha memperluas akses rawatan onkologi kepada golongan yang memerlukan.
“Pada fasa pertama, seramai 1,000 pesakit menerima rawatan radioterapi dan neuro-pembedahan secara percuma menerusi fasiliti IHH.

“Hari ini, kita menambah lagi 500 pesakit, menjadikan jumlah keseluruhan penerima kepada 1,500 orang,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Turut hadir, Pengerusi IHH Healthcare Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IHH, Jean-François Naa serta Ketua Setuausaha KKM, Datuk Seri Suriani Ahmad.
Menurut Dzulkefly, kesemua rawatan dikendalikan oleh pakar onkologi dan pakar bedah saraf KKM tetapi dijalankan di hospital IHH yang dilengkapi teknologi terkini seperti Gamma Knife dan Linear Accelerator (LINAC).
Katanya, rawatan percuma ini melibatkan lapan buah hospital swasta IHH dan merangkumi pelbagai jenis kanser termasuk tumor otak, metastasis otak, kanser kepala dan leher, kanser payudara, paru-paru, kolon dan limfoma.
“Ini adalah satu contoh kejayaan kolaborasi awam dan swasta yang membawa manfaat terus kepada rakyat.
‘Kita tidak boleh bergerak bersendirian dalam sektor kesihatan. Inilah pendekatan MADANI yang mahu kita perkasakan,” katanya lagi.
Dzulkefly berkata, program itu juga selari dengan Pelan Strategik Kawalan Kanser Kebangsaan (NSPCC) yang memberi fokus kepada pengesanan awal, rawatan berkesan dan penjagaan menyeluruh termasuk aspek penjagaan paliatif.
“Kanser bukan isu rawatan semata-mata, ia menuntut pendekatan holistik bermula daripada diagnosis awal, rawatan berkualiti, sehingga kepada sokongan selepas rawatan dan penjagaan akhir hayat,” katanya lagi.
Beliau turut mengajak semua pihak untuk bersama membina ekosistem kesihatan yang inklusif dan kolaboratif, berasaskan semangat tanggungjawab bersama demi kesejahteraan rakyat.
“Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan kerjasama ini.
“Kita mahu terus perkukuh jaringan strategik seperti ini demi masa depan sistem kesihatan negara yang lebih mampan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









2 Comments