JENAYAH & MAHKAMAH

CEO Batu didakwa lagi

Simpan bahan lucah dalam telefon bimbit

SELAYANG – Pempengaruh ‘CEO Batu’ sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan bahan lucah dalam telefon bimbitnya, Mei lalu.

Tertuduh, Muhamad Iqbal Muhamad Nor, 22, bagaimanapun tidak memgaku salah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Chai Guan Hock.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyimpan video dan gambar lucah dalam simpanan galeri telefon bimbit miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini, pukul 11.39 pagi 22 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen 292 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Birr Zamier Abu Bakar kemudian mencadangkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Nabil Ashraff Ridzuan yang mewakili Muhamad Iqbal memohon jaminan rendah berikutan anak guamnya telah hilang punca pendapatan sebagai pencipta kandungan sejak kesnya berjalan.

“Sebelum ini anak guam mempunyai pendapatan sekitar RM3,000, bagaimanapun sejak kes ini, banyak kontrak ditamatkan. Bapa tertuduh bekerja di sebuah kilang, tertuduh sendiri mempunyai masalah saraf akibat kemalangan, mohon mahkamah mempertimbangkan jaminan rendah dengan mengambil kira faktor-faktor ini,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Guan Hock membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 September ini untuk sebutan semula kes.

Semalam Muhamad Iqbal didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, Mei lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button