JENAYAH & MAHKAMAH

46 kemalangan libat penunggang motosikal direkod sepanjang program RXZ Members 8.0

KUALA LUMPUR – Sebanyak 46 kes kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal direkodkan dalam tempoh empat hari bermula 30 Julai hingga Ahad lalu semasa program RXZ Members 8.0.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, daripada jumlah itu, 11 kes atau 23.91 peratus merupakan kemalangan maut, lima kes (10.87 peratus) adalah kemalangan serius dan 30 kes (65.22 peratus) diklasifikasi sebagai kemalangan ringan.

Menurut beliau, pecahan harian menunjukkan empat kes direkodkan pada 30 Julai, 16 kes pada 31 Julai, 11 kes pada 1 Ogos dan 15 kes pada 2 Ogos, melibatkan seramai 44 mangsa lelaki dan dua mangsa wanita.

“Analisis profil umur mendapati, kumpulan berusia antara 21 hingga 30 tahun mencatatkan penglibatan tertinggi dengan 19 orang, diikuti kumpulan umur 18 hingga 20 tahun (10 orang), 41 hingga 50 tahun (sembilan orang) dan 31 hingga 40 tahun (lapan orang),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi JSPT, hari ini.

Analisis turut mendapati, kemalangan jenis pelanggaran belakang mencatatkan jumlah tertinggi dengan 21 kes, diikuti kemalangan terbabas (15 kes), pelanggaran sisi (tujuh kes) dan geseran kenderaan (tiga kes).

Beliau berkata, kesemua 11 kes kemalangan maut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala lima kes kemalangan serius disiasat di bawah Seksyen 43(1) akta yang sama.

Kes kemalangan ringan pula disiasat mengikut peruntukan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas yang berkaitan.

“Antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada kemalangan ialah kecuaian, kegagalan mengawal kenderaan, mengekori kenderaan lain pada jarak yang terlalu dekat serta cara penunggangan yang tidak selamat sehingga boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya lagi.

Hasbullah turut menasihatkan penunggang motosikal supaya sentiasa mematuhi had laju, mengekalkan jarak selamat, mengelakkan pergerakan berkumpulan tanpa kawalan, tidak berlumba atau melakukan aksi berbahaya serta memastikan motosikal berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan.

Beliau turut mengesyorkan supaya penganjur program atau perhimpunan motosikal menyediakan pelan pergerakan yang teratur, memberikan taklimat keselamatan kepada peserta serta bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengurangkan risiko kemalangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button