BERITA SEMASA

Operator kilang maut, kereta dipandu hilang kawalan sebelum langgar pokok

KLUANG – Seorang operator kilang maut selepas kereta Proton Satria dipandunya hilang kawalan sebelum melanggar sebatang pokok dalam kejadian di Kilometer 76, Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Husin berkata, kemalangan yang berlaku pada pukul 7.50 pagi itu menyebabkan mangsa, Kamaruzaman Kussin, 32, meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati lelaki yang berasal dari Felda Pemanis Satu, Segamat ini tidak mempunyai lesen memandu selain cukai jalan kenderaan dipandunya sudah tamat tempoh pada 10 Januari lalu.

“Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan seorang diri dari arah Simpang Renggam menghala ke Ayer Hitam.

“Sebaik sampai di lokasi, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahagian kiri jalan dan melanggar sebatang pokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Maznan Mohamad berkata, pihaknya terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button