BERITA SEMASA

Cubaan larikan diri gagal, bot nelayan Vietnam ditahan Maritim Malaysia

PASIR PUTEH – Sebuah bot nelayan dari Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan negara, Ahad lalu.

Penahanan itu dilakukan oleh kapal penguat kuasa Maritim Negeri Kelantan yang sedang menjalankan rondaan di sempadan perairan Malaysia-Vietnam menerusi beberapa operasi bersepadu iaitu Op Damai 1/2018, Op Iman 1/2018, Op Naga 1/2014 dan Op Tiris 3.0.

Bot terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 2.23 petang, lebih kurang 167 batu nautika dari muara Tok Bali.

Seramai sembilan kru nelayan asing ditahan pihak berkuasa dalam operasi tersebut.

Menurut APMM, pada peringkat awal bot tersebut enggan memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri apabila diarahkan berhenti oleh anggota penguat kuasa.

Bagaimanapun, tindakan pantas kapal Maritim Malaysia yang memintas dan melaksanakan `force boarding’ berjaya menggagalkan cubaan mereka.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit membawa sembilan kru termasuk tekong yang kesemuanya dipercayai warga Vietnam berumur antara 29 hingga 67 tahun. Mereka juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana gagal mempamerkan dokumen kebenaran menangkap ikan yang sah di perairan Malaysia serta di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri,” menurut kenyataan APMM di laman Facebook hari ini.

BACA : Bot penumpang terlebih muatan ditahan Maritim Malaysia Selangor

Tambahnya, kesemua kru ditahan dan bot terbabit dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut oleh Pegawai Penyiasat.

Proses membawa balik bot tahanan mengambil masa hampir 30 jam sebelum tiba di jeti pada jam 7.54 pagi, Selasa.

APMM menegaskan bahawa pihaknya akan terus komited memastikan perairan negara bebas daripada sebarang aktiviti pencerobohan dan pencabulan kedaulatan, serta melindungi sumber perikanan daripada dieksploitasi secara haram.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau insiden di laut boleh menyalurkan maklumat melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di 09–778 0070.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button