Maritim Malaysia aktifkan semula misi cari kru Kapal Layar Daisy
PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan semula operasi mencari dan menyelamat bagi menjejak seorang kru kapal layar warga Turkiye yang masih hilang di perairan Pulau Yu, Terengganu.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pencarian disambung semula selepas pihaknya menerima permohonan rasmi daripada Kedutaan Besar Turkiye melalui Kementerian Luar Negeri semalam.
“Mangsa, Eser Demirkol, adalah seorang daripada tiga kru yang terlibat dalam insiden kapal layar karam pada 31 Julai lalu. Dua kru lain telah ditemukan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi sebelum ini dilaksanakan selama tujuh hari meliputi kawasan seluas 457.61 batu nautika persegi melibatkan aset laut, udara dan penyelam Special Tasks and Rescue Team (STAR Team) dengan bantuan Remotely Operated Vehicle (ROV) sebelum ditamatkan pada Rabu lalu selepas tiada penemuan baharu.
“Operasi kali ini akan memfokuskan kawasan antara lokasi kapal disyaki karam dan lokasi penemuan mangsa kedua dengan penggunaan aset laut dan udara Maritim Malaysia bagi mengoptimumkan liputan pencarian,” katanya.
Orang ramai khususnya komuniti maritim diminta melaporkan sebarang petunjuk berkaitan mangsa dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau MRCC Putrajaya di talian 03-89413140 yang beroperasi 24 jam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








