Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 24 tan ayam sejuk beku
KOTA TINGGI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili berjaya menumpaskan cubaan menyeludup masuk 24 tan ayam sejuk beku ke negara ini dalam satu operasi kelmarin.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, operasi tersebut turut dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Berdasarkan maklumat risikan yang dijalankan telah membawa kepada penahanan sebuah bot gentian kaca mencurigakan di jeti persendirian Teluk Kabung, Pasir Gudang pada pukul 2.45 petang.
“Hasil pemeriksaan menemui 2,071 kotak ayam sejuk beku seberat kira-kira 12 kilogram setiap satu, dipercayai cuba dibawa masuk tanpa kelulusan bagi mengelakkan kawal selia pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Sebuah lori yang disyaki digunakan untuk mengangkut semua kotak ayam tersebut turut dirampas. Nilai keseluruhan rampasan mencecah RM600,000,” jelas beliau.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk barangan tanpa kelulusan sah.
Mohd Najib menegaskan, operasi itu menunjukkan komitmen berterusan APMM membanteras jenayah maritim termasuk penyeludupan barangan kawalan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara.
Sementara itu, beliau turut menyeru orang awam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penyeludupan, pencerobohan atau jenayah maritim melalui Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili di talian 07-8916591 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








