BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kerajaan Selangor terus perkasa wanita muda, lebih 700 sertai program kepimpinan

SHAH ALAM – Usaha Kerajaan Negeri Selangor memperkasa kepimpinan wanita muda terus menunjukkan hasil memberangsangkan apabila lebih 700 wanita muda berjaya menyertai pelbagai program kepimpinan sejak tahun 2018 hingga Jun 2025.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, jumlah tersebut melibatkan penyertaan dalam program seperti Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) merangkumi empat kohort, Women2Win (dua kohort) serta Sidang Wanita Negeri Selangor (SIWANIS) (tiga kohort).

Menurut beliau, program tersebut dirangka khusus untuk membina kemahiran kepimpinan, pengurusan, komunikasi serta pembangunan dasar dan polisi dalam usaha melahirkan pemimpin wanita muda yang bersedia memainkan peranan aktif dalam pembangunan negeri dan negara.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited memperkasa wanita termasuk wanita muda selaras dengan Matlamat 4 Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024–2026 yang memberi penekanan kepada aspek penyertaan, perwakilan dan pembuatan keputusan wanita dalam kehidupan awam dan politik,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Baca juga : Anfaal seru wanita Muslimah sebar nilai Islam, didik keluarga dengan kasih sayang

Tambah Anfaal, antara inisiatif utama lain yang telah dan sedang dilaksanakan termasuklah Projek Pengarusperdanaan Gender (GM), Belanjawan Responsif Gender (BRG), Townhall Pengenalan Dasar Wanita Selangor 2024–2026 dan Konvensyen Kerjaya Wanita.

Jelas beliau, Selangor turut melakar sejarah apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Westminster Foundation for Democracy dari United Kingdom pada 21 Jun lalu bagi memperkukuh kepimpinan wanita dalam landskap demokrasi Malaysia.

P

Melalui program Gender Observatory di bawah Women Political Leadership Programme (Fasa II), kerjasama strategik ini akan melibatkan dialog perkongsian data, pemantauan dasar, penyelidikan, pembentangan awam serta advokasi dasar yang lebih inklusif gender.

“Inisiatif ini diselaraskan dengan keutamaan Dasar Wanita Selangor dan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang meletakkan wanita sebagai ejen perubahan sosial dan pembangunan negeri,” ujarnya.

Baca juga : Hentikan stigma negatif terhadap golongan OKU – Anfaal

Mengulas pemilihan peserta bagi program-program kepimpinan, Anfaal berkata, ia dibuat secara teliti dan telus berdasarkan empat kriteria utama iaitu minat dan potensi kepimpinan, penglibatan dalam aktiviti komuniti, motivasi dan komitmen tinggi, serta keseimbangan perwakilan dari pelbagai latar belakang.

“Pendekatan ini penting agar program yang dijalankan benar-benar memberi impak dan melahirkan barisan pemimpin wanita yang seimbang dari segi kapasiti dan representasi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button