
Hentikan stigma negatif terhadap golongan OKU – Anfaal
CYBERJAYA – EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari menggesa orang ramai supaya tidak mempunyai stigma negatif terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) susulan kes cabul seorang kanak-kanak di sebuah masjid di Batang Kali, semalam.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, pemilikan kad OKU bukanlah sesuatu yang sentiasa mengecualikan pelaku daripada dikenakan tindakan.
“(Dalam isu ini) tahap kewarasan pelaku tersebut harus diuji untuk menentukan samada dia boleh membezakan baik dan buruk semasa melakukan perbuatan tercela ini.
“Apapun, saya percaya pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan melakukan siasatan yang baik untuk memastikan keadilan ditegakkan,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Beliau berkata, lebih banyak perlu dilakukan untuk menjaga OKU khasnya yang tidak waras ini, supaya mereka tidak melakukan apa-apa yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain atas ketidak-warasan mereka.
“Insya Allah, dengan tertubuhnya Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) yang dijadualkan pada tahun ini, Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk melebarkan lagi inisiatif untuk golongan OKU, supaya mencakupi juga OKU dewasa dan memberi manfaat kepada pelbagai lagi kategori OKU,” katanya.
Beliau seterusnya berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diminta untuk menyediakan perkhidmatan kaunseling secara percuma kepada mangsa untuk menangani potensi trauma susulan kes ini.
“Saya menzahirkan kekesalan dan bersimpati terhadap kanak-kanak perempuan mangsa gangguan seksual oleh lelaki OKU tersebut.
”Semoga mangsa berada dalam keadaan yang sihat dan sejahtera daripada segenap aspek – fizikal, mental, emosional, dan spiritual,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Anfaal turut menyelar kenyataan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa wanita sepatutnya hanya menunaikan solat di rumah.
“Kita perlu menyediakan persekitaran (tidak kira) masjid, sekolah, tempat kerja, tempat-tempat awam, dan sebagainya, yang selamat untuk wanita dan kanak-kanak, bukan menghalang terus wanita dan kanak-kanak daripada keluar daripada rumah.
“Semoga masjid-masjid kita serta seluruh Selangor menjadi tempat yang selamat untuk semua termasuklah golongan kanak-kanak dan wanita,” katanya lagi.
Semalam, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian yang difahamkan berlaku di sebuah masjid di Batang Kali.
Video tersebut menunjukkan, seorang lelaki menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum mengangkat seorang kanak-kanak yang sedang sujud dari arah belakang ketika sedang lain sedang menunaikan solat Subuh.
Mangsa kemudiannya dipercayai dicabul namun dapat melarikan diri setelah bergelut dengan suspek.
Suspek kemudiannya berjaya ditahan pada hari yang sama di sekitar Batang Kali.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |