BERITA SEMASAMALAYSIA MADANIPMXPOLITIK

Tindakan AS-Israel bom Iran satu kesilapan besar – Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Amerika Syarikat (AS) dan Israel mengebom tapak nuklear utama Iran bulan lalu sebagai satu kesilapan besar yang mengabaikan rundingan damai dan semangat rakyat Iran.

Dalam temu bual bersama France 24 yang disiarkan semalam, Anwar menegaskan penyelesaian terhadap konflik Gaza tidak boleh dicapai melalui kekerasan, sebaliknya mesti digerakkan melalui rundingan pelbagai hala.

“Mereka telah berkali-kali cuba melemahkan Iran, tetapi masih gagal kerana tidak memahami kekentalan rakyat negara itu,” katanya.

Menurutnya, pendekatan ketenteraan hanya memburukkan keadaan dan tidak membawa kepada penyelesaian yang berkekalan.

Mengulas tekanan kuasa Barat termasuk Perancis agar Iran menghentikan program nuklear, Anwar berkata pendirian sedemikian perlu konsisten dan tidak berat sebelah.

“Kalau benar mahu cegah proliferasi nuklear demi keamanan, ia mesti adil. Kenapa hanya Iran ditekan, tetapi Israel tidak disentuh langsung? Ini jelas dwistandard,” katanya.

Beliau menambah, dunia hari ini tidak lagi boleh menerima amalan berat sebelah dan sikap hipokrit kuasa besar.

“Ini bukan era kolonial. Tidak ada siapa boleh paksa negara lain ikut telunjuk mereka,” ujarnya.

Mengulas tindakannya menghubungi pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh selepas serangan 7 Oktober, Anwar menjelaskan ia adalah usaha menyokong inisiatif gencatan senjata, bukan menyokong keganasan.

“Saya pergi untuk membuka ruang dialog, bukan mencetuskan keganasan. Rundingan damai melalui Qatar, Mesir dan AS perlu diberi peluang,” katanya.

Anwar turut menegaskan Malaysia tidak akan tunduk kepada tekanan untuk hanya mengecam Hamas tetapi terus membisu terhadap kekejaman Israel.

“Saya tidak akan jadi pak turut yang hanya tahu menyalahkan satu pihak,” jelasnya.

Beliau menolak dakwaan bahawa Malaysia bersikap dwistandard berhubung konflik di Ukraine dengan menjelaskan perbincangan telah diadakan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

“Saya bukan wakil mana-mana kuasa, tetapi saya sampaikan pandangan sebagai seorang sahabat yang mahukan penyelesaian damai,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button