Data satelit sahkan serangan Iran jejas infrastruktur tentera Israel
TEHRAN – Sekurang-kurangnya lima lokasi ketenteraan Israel dikenal pasti menjadi sasaran tepat peluru berpandu Iran dalam konflik dua minggu yang tercetus bulan lalu.
Menurut laporan The Telegraph, sekurang-kurangnya enam peluru berpandu dilancarkan ke arah sasaran strategik di utara, tengah dan selatan Israel, termasuk sebuah pusat risikan serta pangkalan logistik utama tentera rejim itu.
Jurucakap tentera kumpulan, Yahya Sarea berkata, serangan tersebut adalah tindak balas terhadap serangan Israel pada 13 Jun lalu yang mengorbankan beberapa komander kanan dan saintis nuklear Iran.
“Pelancaran serentak peluru berpandu dan dron kamikaze dilakukan bagi memecahkan fokus radar Israel dan memberi laluan kepada peluru berpandu utama.
“Serangan ini membuktikan bahawa sistem pertahanan mereka boleh ditembusi,” katanya dalam satu kenyataan.
Laporan sama turut mendedahkan imej radar satelit yang dianalisis menunjukkan corak letupan yang konsisten dengan kesan serangan peluru berpandu balistik.
Namun, tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh pihak tentera Israel setakat ini.
Penafian terbuka dipercayai berpunca daripada sekatan ketat ke atas penyiaran maklumat berkaitan keselamatan negara semasa konflik.
Sebelum ini, pihak berkuasa Israel dan Amerika Syarikat mendakwa sekitar 84 peratus peluru berpandu Iran berjaya dipintas menerusi sistem pertahanan udara gabungan mereka.
Bagaimanapun, analisis semasa menunjukkan peningkatan jumlah peluru berpandu yang menembusi sistem pertahanan Israel, terutamanya dalam tempoh lapan hari pertama pertempuran.
Penganalisis pertahanan melihat kejayaan Iran berpunca daripada taktik serangan serentak dron dan peluru berpandu, kemajuan teknologi ketenteraan serta kekangan logistik dalam sistem pertahanan Israel.
Pegawai kanan Iran mendedahkan gelombang dron dilancarkan bertujuan mengacau sistem radar Israel, walaupun sebahagian besar daripadanya mudah dipintas.
“Matlamat kami bukan untuk memastikan dron sampai ke sasaran, tetapi untuk mengganggu sistem pertahanan mereka.
“Taktik ini berjaya, dan peluru berpandu utama berjaya menembusi sasaran,” katanya.
Iran menamakan operasi itu sebagai Janji Sebenar III (True Promise III), dan melancarkan beberapa gelombang serangan susulan selepas tindakan awal.
Pada 22 Jun, Amerika Syarikat bertindak balas dengan membedil tiga fasiliti nuklear Iran tindakan yang dikecam Tehran sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan Perjanjian Pencegahan Penyebaran Senjata Nuklear (NPT).
Sebagai tindak balas, Iran menyerang Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar, pangkalan terbesar tentera AS di Asia Barat, menyifatkannya sebagai langkah mempertahankan diri daripada pencerobohan asing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








