BERITA SEMASADALAM NEGERI

Imigresen pantau sindiket tawar perkhidmatan keluar masuk negara melalui ‘pintu belakang’

KUALA LUMPUR  – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesan sindiket mempromosikan perkhidmatan keluar masuk ke negara ini serta perkhidmatan ‘menghapuskan’ status senarai hitam dalam sistem jabatan itu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya memandang serius kegiatan sindiket berkenaan yang aktif di akaun media sosial.

Katanya, sindiket itu turut menawarkan perkhidmatan pemprosesan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja khususnya kepada warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) meskipun program tersebut tidak lagi wujud.

“Siasatan awal menunjukkan bayaran tertentu dikenakan bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan.

“Aktiviti ini jelas merupakan satu bentuk penipuan yang cuba mengaitkan JIM untuk meraih keuntungan secara tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zakaria menegaskan bahawa JIM tidak pernah melantik mana-mana individu atau pihak sebagai ejen rasmi untuk menguruskan sebarang urusan berkaitan perkhidmatan imigresen.

Sebaliknya, beliau mengingatkan orang ramai agar berurusan terus di Pejabat Imigresen dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang disebar melalui media sosial, khususnya yang menjanjikan jalan pintas atau urusan ‘pintu belakang’.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa JIM kini sedang menjalankan pemantauan rapi terhadap akaun-akaun yang terlibat dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam aktiviti penipuan ini.

“JIM tidak akan berkompromi dan akan meneruskan pemantauan dan siasatan terhadap akaun media sosial yang dikesan menjalankan aktiviti penipuan ini sebelum tindakan undang-undang diambil,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button