BERITA SEMASADALAM NEGERI

30 peratus murid prasekolah alami masalah penglihatan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 30 peratus kanak-kanak prasekolah di negara ini mengalami masalah penglihatan tanpa disedari, demikian pendedahan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, dapatan itu diperoleh berdasarkan laporan Program Amblyopia and Visual Impairment Screening (AVIS) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi tahun 2023.

Zaliha Mustafa ketika menyempurnakan pelancaran tahun kedua Program Mata Hati Wilayah di Kuala Lumpur.
Zaliha Mustafa ketika menyempurnakan pelancaran tahun kedua Program Mata Hati Wilayah di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, angka berkenaan amat membimbangkan kerana sebahagian besar kanak-kanak tidak menyedari mereka mempunyai masalah penglihatan malah ada yang tidak mendapatkan rawatan kerana kekangan kewangan keluarga.

“Masalah penglihatan ini bukan sahaja menjejaskan pencapaian akademik dan keyakinan diri, malah turut memberi kesan terhadap perkembangan kognitif, motor dan bahasa mereka,” katanya semasa menyempurnakan pelancaran tahun kedua Program Mata Hati Wilayah di Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas lanjut, Dr. Zaliha berkata, laporan World Report On Vision yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyokong kebimbangan itu apabila menyatakan bahawa penglihatan yang baik sejak peringkat awal kanak-kanak penting untuk akses pembelajaran dan pencapaian pendidikan jangka panjang.

Beliau berkata, sebagai langkah intervensi, program Mata Hati Wilayah yang dilaksanakan tahun lalu akan diterus dan diperluaskan kepada lima sekolah tambahan tahun ini.

“Dapatan dari hasil saringan mata tahun lalu mendapati, 55% daripada 2,008 orang murid Tahap 1 yang disaring melibatkan 5 sekolah, mengalami masalah penglihatan, di mana 88% daripada rabun, 4% rabun warna dan 8% lagi ada masalah juling.

“Sebagai tindakan susulan, seramai 500 murid dari keluarga B40 menerima cermin mata percuma yang ditaja oleh Jabatan Wilayah Persekutuan,” katanya.

Katanya, tinjauan susulan pula menunjukkan 92 peratus penerima cermin mata menunjukkan peningkatan positif dalam komunikasi dan penglibatan bilik darjah.

“Tiada seorang pun murid di Wilayah Persekutuan ini harus dipinggirkan hanya kerana mereka rabun. Kita tidak boleh membiarkan kekurangan kecil menjadi penghalang besar kepada masa depan mereka,” tegas Dr. Zaliha.

Beliau turut mencadangkan agar Kementerian Pendidikan mempertimbang menjadikan saringan mata sebagai komponen tetap semasa orientasi murid Tahun 1, sebagai langkah awal mengenal pasti masalah penglihatan di kalangan pelajar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button