BERITA SEMASA

Satu Tabika Tunas Istimewa@KEMAS di setiap daerah menjelang 2027 – Ahmad Zahid

BANGI – Setiap daerah dijangka mempunyai satu Taman Bimbingan Kanak-Kanak Khas (Tabika) atau dikenali sebagai Tabika Tunas Istimewa@KEMAS menjelang 2027.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha kerajaan dalam memastikan tiada anak-anak berkeperluan khas yang tercicir daripada mendapat pendidikan awal.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, inisiatif tersebut akan dimulakan dengan pengoperasian tiga Tabika Tunas Istimewa@KEMAS di Melaka pada tahun ini sebagai projek rintis sebelum diperluaskan ke setiap negeri bermula tahun depan.

“Insya Allah, menjelang tahun 2027, kita menyasarkan sekurang-kurangnya satu tabika khas ini diwujudkan di setiap daerah seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Pendidik KEMAS, di sini hari ini.

Beliau menegaskan, usaha ini bukan kesinambungan biasa, sebaliknya satu anjakan besar yang dituntut oleh zaman dan diharapkan oleh ibu bapa.

“Apa yang sedang kita lakukan ini bukan perkara biasa. Ia bukan kesinambungan semata-mata, ia adalah satu anjakan.

“Dan inilah anjakan yang dituntut oleh zaman, dimahukan oleh ibu bapa,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa pendidikan KEMAS perlu dilihat sebagai teras penting dalam membina generasi masa hadapan yang holistik, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran.

“Pendidikan yang dilaksanakan oleh KEMAS tidak lagi boleh dilihat sebagai pelengkap. Ia mesti menjadi wahana utama dalam membina insan yang holistik, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” tegasnya.

Setakat ini, KEMAS mengendalikan lebih 10,567 Tabika dan 577 Taska di seluruh negara, menyantuni seramai 221,012 pelajar kecil daripada pelbagai latar belakang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button