Malaysia lonjak 11 anak tangga dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2025
KUALA LUMPUR – Malaysia melonjak 11 anak tangga dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2025, apabila naik ke kedudukan ke-23 daripada 69 berbanding tempat ke-34 tahun lalu.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, pencapaian tahun ini merupakan yang terbaik sejak 2020, mencerminkan momentum pengukuhan ekonomi Malaysia.
MITI berkata, pengiktirafan itu adalah hasil daripada usaha pembaharuan berterusan serta komitmen menuju matlamat Kerangka Ekonomi MADANI untuk berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing dunia menjelang 2033.
“Kedudukan keseluruhan dipacu oleh peningkatan ketara dalam tiga faktor utama iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
WCR yang diterbitkan setiap tahun oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) yang berpangkalan di Switzerland merupakan laporan komprehensif yang menilai keupayaan sesebuah negara dalam menjana dan mengekalkan persekitaran mesra perniagaan demi kemakmuran jangka panjang.
Selain itu kata MITI, sub-faktor perdagangan antarabangsa juga menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila melonjak 11 anak tangga ke kedudukan keenam berbanding tempat ke-17 tahun lalu.
Pencapaian itu adalah hasil pertumbuhan eksport barangan dan perkhidmatan, kepelbagaian pasaran serta peningkatan pelancongan, sekali gus memantapkan lebihan dagangan negara.
Menurut MITI, Jawatankuasa Daya Saing Negara (JKDSN) yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah menyelaras hala tuju strategik merentas pelbagai kementerian bagi memperkukuh ekosistem daya saing negara.
“Di peringkat pelaksanaan, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang diterajui oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memainkan peranan penting menerusi lebih 1,000 inisiatif di bawah program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), sejajar dengan aspirasi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA),” katanya.
MITI turut menegaskan Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran menjadi antara 12 ekonomi paling berdaya saing dunia sebelum 2033.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







