BERITA SEMASA

Tarif AS: Tuduhan Malaysia gadaikan standard halal JAKIM tidak benar – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menegaskan Malaysia tidak menggadaikan standard halal untuk mendapatkan kadar tarif yang lebih rendah.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata, dakwaan sesetengah pihak bahawa Malaysia menggadaikan perkara itu untuk mendapatkan tarif lebih rendah dari Amerika Syarikat (AS) adalah tidak benar.

“Tak betul! Kita cuma memudahcara proses tersebut agar ia lebih pantas dan efisien. Import produk halal dari AS masih perlu memenuhi standard Halal yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya dalam satu hantaran menerusi laman media sosialnya hari ini.

Terdahulu Tengku Zafrul menegaskan kadar tarif 19 peratus dicapai tanpa menjejaskan hak kedaulatan negara untuk melaksanakan dasar-dasar utama dalam menyokong sosio-ekonomi, kestabilan, serta pertumbuhan dan pihaknya melihat pengurangan tarif sebagai pencapaian penting hasil proses rundingan.

Mengulas lanjut dakwaan Malaysia akan membekalkan bahan nadir bumi (REE) secara eksklusif kepada AS, katanya, tuduhan itu juga tidak benar.

“Perkara tersebut tidak pernah dibangkitkan semasa rundingan tarif dengan pihak AS.

“AS cuma meminta agar Malaysia tidak menyekat eksport nadir bumi atau REE ke AS. Pada masa ini memang kerajaan tidak mengenakan sekatan ke atas eksport nadir bumi yg telah diproses.

“Habis tu, apa yang Malaysia perlu beri untuk dapat tarif lebih rendah? AS meminta agar produk-produk tertentu dikenakan tarif yang lebih rendah, jadi kita bersetuju dengan permintaan tersebut khususnya bagi produk yang tidak menjejaskan industri tempatan,” katanya.

Sementara itu katanya, dalam rundingan yang diadakan, kedua-dua pihak berbincang secara jujur dan terbuka sehingga membawa kepada keputusan menang-menang bagi kedua-dua pihak.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam rundingan ini, khususnya team burung hantu MITI.

“Rundingan dengan AS ni kita buat ikut masa mereka, jadi dari malam sampai ke pagi pun #TeamMITI masih lagi berunding dengan rakan mereka di Amerika Syarikat, dah macam burung hantu! Takpa, sekarang ni dah boleh tidur malam balik,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button