Fahmi minta Meta siasat kehilangan hantaran Facebook Akmal Nasir
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa beliau akan menghubungi pihak Meta Platforms Inc bagi mendapatkan penjelasan berhubung kehilangan semua hantaran Facebook milik Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir.
Menurut Fahmi, beliau telah berhubung dengan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu dan meminta Meta menyiasat serta memulihkan semula kandungan yang didakwa hilang secara misteri sejak Isnin lalu.
“Saya baru sahaja berhubung dengan YB Akmal dan akan minta pihak Meta cuba kembalikan posting serta kenal pasti siapa yang telah lakukan perkara ini,” katanya menerusi satu hantaran di platform X, semalam.
Terdahulu, Akmal memaklumkan bahawa semua hantaran di akaun Facebook beliau sejak akhir 2022 telah hilang secara tiba-tiba, yang disedari sejak tiga hari lalu.
Menurutnya, insiden tersebut mula dikesan apabila satu hantaran berkaitan kempen pemilihan PKR 2025 lenyap beberapa jam sebelum kesemua kandungan lain turut hilang menjelang petang hari yang sama.
“Kami telah menghubungi pihak Meta dan mereka mengesahkan insiden ini berpunca daripada unsur sabotaj oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
“Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk memulihkan semula semua hantaran yang telah hilang,” katanya menerusi satu kenyataan di X.
Akmal turut memaklumkan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang dikenal pasti terlibat dalam kejadian itu.
“Saya telah mengarahkan pasukan peguam untuk mempertimbangkan proses undang-undang termasuk tindakan saman terhadap mana-mana pihak atau individu terlibat sekiranya terdapat keterangan mencukupi,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








