BERITA SEMASAJABATAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Semangat ukhuwah Aidiladha cerminan perpaduan warga Sekijang

SEKIJANG – Sambutan Hari Raya Aidiladha di Parlimen Sekijang tahun ini sekali lagi menyerlahkan semangat perpaduan dan ukhuwah dengan ibadah korban dilaksanakan secara gotong-royong di beberapa buah masjid di sini.

Sebanyak 11 ekor lembu dan seekor kerbau telah dikorbankan dengan tajaan daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sekijang, yang kemudiannya diagihkan kepada beberapa masjid terpilih termasuk Masjid Al Husna (Segamat Baru), Masjid Pemanis 1, Masjid Pemanis 2 dan Masjid Kamalul Hidayah di Felda Kemelah.

Semangat ukhuwah Aidiladha cerminan perpaduan warga Sekijang

Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa, turut turun padang sejak awal pagi bagi bersama-sama menyertai lebih 50 orang sukarelawan menyempurnakan proses penyembelihan, melapah dan pengagihan daging korban kepada penduduk.

“Saya berada di Masjid Al Husna dan Masjid Kamalul Hidayah pagi tadi bagi menyertai ibadah korban bersama penduduk. Sebanyak tujuh ekor lembu telah dikorbankan di dua lokasi ini dengan penglibatan ramai sukarelawan yang cukup komited,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Semangat ukhuwah Aidiladha cerminan perpaduan warga Sekijang

Dalam masa yang sama, Dr Zaliha turut menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada 40 orang asnaf serta memberikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir memeriahkan sambutan.

Menurut beliau, semangat Aidiladha bukan sahaja melambangkan pengorbanan, tetapi turut menjadi lambang kekuatan perpaduan umat Islam, khususnya dalam kalangan warga Sekijang.

Semangat ukhuwah Aidiladha cerminan perpaduan warga Sekijang

“Inilah semangat Aidiladha, semangat penyatuan dan perpaduan ummah. Insya-Allah, di Parlimen Sekijang ini, kita akan terus kekalkan nilai ukhuwah ini demi kesejahteraan bersama,” katanya lagi.

Sambutan Aidiladha di Sekijang saban tahun dilihat bukan sahaja mengukuhkan hubungan silaturrahim antara masyarakat pelbagai lapisan, malah memperlihatkan semangat gotong-royong yang masih subur dalam kalangan penduduk luar bandar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button