MARA perkukuh kerjasama strategik dengan University of Cambridge
LONDON – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperkukuh jaringan antarabangsa menerusi kerjasama bersama University of Cambridge, United Kingdom, dalam usaha pembangunan modal insan Bumiputera melalui akses pendidikan bertaraf dunia.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pertemuan itu membuka peluang kepada pelaksanaan laluan khas ke University of Cambridge bagi pelajar cemerlang MRSM, khususnya dari 12 MRSM berkurikulum IGCSE.
“Langkah itu sejajar dengan komitmen MARA untuk membuka akses kepada universiti terbaik dunia kepada anak-anak Bumiputera yang berpotensi besar.
“Cambridge menyatakan persetujuan awal menghantar delegasi ke Malaysia bagi mengadakan perbincangan lanjut bersama Pengetua MRSM IGCSE dan kaunselor sekolah, bagi memperincikan struktur akademik dan laluan kemasukan pelajar ke institusi berkenaan.
“MARA sedang membangunkan ekosistem pendidikan yang holistik bukan sekadar menghantar pelajar, tetapi juga membekalkan mereka dengan pemahaman mendalam mengenai keperluan akademik, budaya pembelajaran, dan nilai kepimpinan di peringkat global,” katanya dalam hantaran di media sosial.
University of Cambridge menyambut baik inisiatif tersebut dan melihat potensi besar dalam kerjasama dua hala itu khususnya dari segi penyelidikan dan pertukaran kepakaran.
Wakil daripada Jabatan Pendidikan Antarabangsa University of Cambridge menyatakan sokongan pendekatan progresif MARA, dengan menegaskan Malaysia mempunyai kumpulan pelajar dan tenaga akademik yang berkualiti, sekali gus membuka peluang baharu untuk kerjasama jangka panjang.
“Kerjasama itu turut membuka peluang kepada 9,987 warga pendidik di bawah Institusi Pendidikan MARA (IPMA), termasuk universiti, kolej kemahiran dan MRSM, untuk melibatkan diri dalam pertukaran kepakaran, penyelidikan bersama dan pengajian pascasiswazah dalam bidang-bidang strategik.
“Tenaga pengajar MARA adalah antara aset utama pembangunan pendidikan negara. Usaha ini akan memperkukuh profesionalisme mereka agar setara dengan standard antarabangsa,” ujarnya.
Bidang utama yang diberi penekanan termasuk kecerdasan buatan (AI), teknologi kuantum, tenaga boleh diperbaharui, teknologi rantaian blok (blockchain), Internet Kebendaan (IoT), serta inovasi keusahawanan — kesemua bidang itu merupakan pemangkin utama kepada perkembangan ekonomi digital global masa kini.
University of Cambridge Trust menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dalam bentuk pembiayaan bersama (co-funding) bagi pelajar penyelidikan MARA di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), yang dianggarkan dapat menjimatkan sehingga RM5 juta dalam kos tajaan pelajar.
“Ini bukan sahaja memberi nilai tambah dari segi kewangan, malah membuka lebih banyak tempat kepada pelajar cemerlang untuk menimba ilmu di institusi terulung,” ujar beliau.
Menurut Dr. Asyraf, kerjasama itu mencerminkan iltizam MARA dalam memastikan pendidikan Bumiputera kekal relevan, kompetitif dan bertaraf antarabangsa.
“Kita tidak boleh lagi hanya berfikir pada skala nasional. Anak-anak Bumiputera perlu diberi pendedahan dan peluang untuk bersaing serta menyumbang di peringkat dunia,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















