MARA kekal tegas terhadap peminjam culas, tiada kompromi walau berpengaruh
KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan terus mengambil tindakan tegas termasuk membawa kes ke mahkamah terhadap peminjam yang gagal melunaskan bayaran balik pinjaman.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan itu selaras dengan tanggungjawab MARA untuk memastikan dana yang dipinjamkan dapat dikembalikan bagi dimanfaatkan semula oleh golongan yang memerlukan.
“Maaf, ya! Ada yang pertikai MARA bawa isu peminjam culas ke mahkamah. Kalau namanya pinjaman, bermakna wajib bayar,” tegasnya melalui hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, sejak beliau menerajui MARA, usaha memperkukuh kutipan semula pinjaman termasuk melalui tindakan undang-undang menjadi antara keutamaan agensi tersebut.
“MARA tidak akan sesekali berkompromi dengan peminjam yang sengaja culas. Ini bukan duit peribadi tapi duit rakyat.
“Arahan Majlis MARA kepada pihak pengurusan amat jelas, jangan dilayani surat-surat mohon pengecualian hatta daripada pihak-pihak berpengaruh walau setinggi mana kedudukan mereka.” katanya.
Dr Asyraf Wajdi berkata, setiap dana yang disalurkan melalui skim pinjaman MARA merupakan amanah rakyat dan bukan hak mana-mana pihak untuk dihapus kira sesuka hati tanpa alasan yang sah.
Beliau turut menjelaskan bahawa aspek pengukuhan disiplin kewangan menjadi antara fokus dalam agenda Transformasi MARA bagi memastikan pengurusan dana awam dilakukan secara berhemah dan berintegriti.
“Ini bukan hak kita untuk berkompromi atau memaafkan peminjam culas kerana setiap sen yang disalurkan sebagai pinjaman merupakan wang amanah rakyat,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Sungai Petani dilaporkan menolak rayuan seorang wanita bersama tiga penjaminnya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membayar semula pinjaman pendidikan MARA berjumlah RM857,000.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








