Sentimen rakyat terhadap Kabinet baharu perlu ditangani – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan bahawa ‘sentimen’ rakyat terhadap barisan Kabinet baharu yang diumumkan semalam tidak boleh dipandang ringan dan perlu ditangani secara berhemah.
Beliau berkata, pelbagai reaksi yang berlegar di media sosial sejak pengumuman rombakan Kabinet itu mencerminkan keresahan sebahagian masyarakat yang wajar diberi perhatian serius oleh kerajaan.
Antara sentimen utama yang dibangkitkan, menurutnya ialah persoalan mengenai pelantikan bukan Melayu sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Timbalan Menterinya yang masing-masing daripada DAP dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Apakah nasib bumiputera bandar? Apakah ini permulaan untuk pilihan raya kerajaan tempatan diadakan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menarik perhatian terhadap sentimen berkaitan pelantikan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli yang dikaitkan dengan beberapa kontroversi sebelum ini, termasuk isu membabitkan kes Zara Qairina.
“Terdapat juga persoalan berhubung hantaran-hantaran beliau berkaitan dakwaan hutang scam emas berjumlah RM14 juta serta isu amalan doa dan ibadah,” kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu lagi.
Selain itu, Asyraf Wajdi berkata, pelantikan Adam Adli sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang sebelum ini lantang menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut mencetuskan perbincangan hangat.
Menurut beliau, sentimen yang timbul mempersoalkan sejauh mana individu berkenaan mampu merealisasikan tuntutan tersebut ketika memegang jawatan dalam kerajaan hari ini.
“Ini hanyalah sebahagian daripada sentimen kuat yang sedang berlegar di ruang media sosial susulan pengumuman semalam,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







