BERITA SEMASA

Gerakan bersepadu semua pihak kunci banteras budaya buli

CYBERJAYA – Usaha membanteras budaya buli hanya akan berjaya sekiranya semua pihak berkepentingan dapat membentuk satu gerakan bersepadu.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, budaya negatif itu perlu diklasifikasi sebagai satu bentuk jenayah dengan pelakunya dikenakan hukuman tegas dan keras tanpa mengira mana-mana pihak.

Jelas beliau, langkah sedemikian mesti dilaksanakan bagi memberi mesej jelas bahawa tiada lagi toleransi, kompromi atau meremehkan sebarang bentuk buli, sama ada fizikal, mental, lisan serta siber.

“Bahkan budaya toleransi terhadap buli yang dianggap satu bentuk gurauan yang biasa dalam kehidupan berasrama mesti dihentikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Asyraf Wajdi menegaskan, usaha pembanterasan dan pencegahan mutlak mesti digerakkan secara bersepadu, membabitkan semua pihak berkepentingan termasuk guru, warden, pentadbir, ibu bapa dan pelajar.

“Penyemaian nilai rahmah (kasih sayang) dan ihsan (empati) yang tinggi mesti digerakkan agar menjadi budaya teras dalam pembentukan generasi pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek,” katanya.

Ketika mengulas insiden pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir yang meninggal dunia setelah dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah menengah agama di Sabah, Asyraf Wajdi berkata, beliau cukup terganggu mendengar berita tragedi itu.

Kematian pelajar berkenaan yang berasal dari Sipitang dikaitkan dengan insidien buli dalam kalangan murid di sekolah berasrama berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button