Budak perempuan 7 tahun maut jatuh dari kondominium
SUBANG JAYA — Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Puchong, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, kejadian sekitar pukul 12.30 tengah hari itu dilaporkan berlaku menerusi panggilan kecemasan MERS999 sebelum sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang di atas lantai tingkat lima bangunan berkenaan. Pegawai perubatan yang hadir mengesahkan kematian mangsa di lokasi.
“Siasatan awal mendapati mangsa ketika itu berada di rumah pengasuh dan dipercayai memanjat tingkap yang tidak mempunyai jeriji sebelum terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
“Ketika kejadian, ibu mangsa berada di rumah menjaga seorang lagi anak yang sedang menjalani kuarantin, manakala bapa mangsa berada di tempat kerja,” jelas beliau.
Pengasuh terbabit dipanggil untuk memberikan keterangan dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut,” ujarnya.
Pihak polis menasihatkan semua pihak terutama penjaga kanak-kanak agar lebih berwaspada dan memastikan ciri keselamatan kediaman sentiasa dalam keadaan selamat bagi mengelakkan kejadian itu berulang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








