BERITA SEMASA

Akta Muzium baharu dijangka dibentang November ini

KUALA LUMPUR – Akta Muzium baharu dijangka dibentangkan di Parlimen pada November ini, sebagai usaha menyelaras pentadbiran serta penubuhan institusi muzium di negara ini agar lebih sistematik dan mengikut piawaian antarabangsa.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata draf akta itu kini berada dalam fasa akhir dan akan dibawa ke Kabinet sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Akta ini penting supaya institusi muzium dapat ditadbir secara lebih tersusun dan mengikut piawaian antarabangsa.

“Ia juga akan mengawal penubuhan muzium agar tidak bercanggah dengan norma masyarakat termasuk unsur ekstremisme dan ideologi bertentangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Hari Muzium Antarabangsa Malaysia 2025 yang berlangsung di M Resort & Hotel, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Seminar anjuran Jabatan Muzium Malaysia (JMM) di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN) itu menghimpunkan lebih 300 peserta dari dalam dan luar negara, termasuk pengamal muzium, ahli akademik, pelajar IPT, penyelidik serta sektor swasta.

Ia turut mendapat kerjasama Majlis Muzium Antarabangsa Malaysia (ICOMMAL) dan Lembaga Muzium negeri Kedah dengan objektif memperkukuh peranan muzium sebagai institusi dinamik dalam pembangunan sosial, ekonomi dan budaya negara.

Dalam pada itu, Aaron turut menekankan muzium bukan lagi sekadar ruang menyimpan artifak malah merupakan platform pembentukan identiti, penyatuan komuniti dan penceritaan warisan secara interaktif.

“Dengan mendukung transformasi digital, kita bukan sahaja memelihara warisan lalu malah turut membentuk masa depan,” katanya.

Malaysia kini mempunyai sebanyak 232 buah muzium yang terdiri daripada institusi persekutuan, negeri, muzium peribadi serta koleksi persendirian yang menjadi nadi kepada pemeliharaan sejarah dan perpaduan masyarakat.

Sementara itu, Ketua Pengarah JMM, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim memaklumkan bahawa akta baharu itu bakal mengisi kekosongan selepas pemansuhan Akta Benda Purba 1957 dan melengkapi Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) yang lebih tertumpu kepada warisan fizikal dan tapak.

“Kita perlukan satu sistem pendaftaran dan kawal selia agar penggunaan nama ‘muzium’ dapat dikawal serta diiktiraf.

“Akta ini turut memberi kerangka kepada Majlis Muzium Persekutuan untuk memberi nasihat serta menyelaras pembangunan muzium,” jelasnya.

Tambah beliau, perangkaan akta itu turut mengambil kira keperluan negeri-negeri, terutama yang belum mempunyai enakmen muzium, agar satu dasar bersama dapat diadaptasi dan dilaksanakan secara seragam di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button