BERITA SEMASA

Penolong pendaftar UTeM maut nahas di Durian Tunggal

ALOR GAJAH – Seorang kakitangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Simpang Gading, Durian Tunggal, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah hari itu, mangsa, Fawwaz Amir Kamarudin, 38, yang juga Penolong Pendaftar Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max dari arah bertentangan cuba mengelak sebuah Proton Waja yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya.

“Proton Waja itu sedang memotong kenderaan mangsa menyebabkan pemandu D-Max hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan Perodua Kancil dipandu mangsa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pemandu D-Max, seorang lelaki berusia 24 tahun yang bekerja sebagai penyelia kebun durian mengalami kecederaan di dada dan kaki kanan.

Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button