BERITA SEMASAPOLITIK

Rafizi tolak pelawaan sertai PAS, kekal setia bersama PKR

Beliau mendedahkan menerima pelawaan menyertai PAS susulan beberapa insiden yang berlaku sepanjang tempoh kempen Pemilihan PKR sesi 2025-2028

KOTA BHARU – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan beliau pernah menerima pelawaan untuk menyertai PAS susulan beberapa insiden yang berlaku sepanjang tempoh kempen Pemilihan PKR sesi 2025-2028.

Namun begitu, beliau menegaskan tidak berminat untuk meninggalkan PKR, parti yang telah lama didukungnya.

Menurut Rafizi yang juga Menteri Ekonomi, tawaran tersebut datang daripada pelbagai pihak termasuk orang ramai yang mengikuti ceramah-ceramah beliau di media sosial.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti kali ini.

“Pelawaan itu adalah perkara biasa, kerana dalam program seperti ceramah media sosial, penontonnya bukan sahaja daripada PKR, tetapi turut melibatkan penyokong PAS, UMNO, orang awam dan juga parti pembangkang lain,” katanya ketika berucap dalam Program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kelantan, malam tadi.

BACA : Rafizi ingatkan perwakilan pilih pemimpin selesaikan isu rakyat, bukan kejar jawatan

Tambah Rafizi, ramai mungkin terlupa bahawa sebahagian besar penyokong PAS pernah mengikuti ceramah beliau semasa era kerjasama dalam Pakatan Rakyat dahulu.

“Dulu semasa PAS bersama PKR dalam gabungan Pakatan Rakyat, sayalah yang banyak mendedahkan isu dan skandal besar negara. Mungkin itu sebabnya saya masih dikenali dalam kalangan pengundi PAS,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Rafizi optimis penggunaan media sosial sebagai platform kempen, mampu menyampaikan mesej parti secara lebih berkesan.

Beliau turut memaklumkan ceramah maya yang dikendalikannya telah mencapai tontonan melebihi 20,000, melibatkan pengundi daripada pelbagai latar belakang politik meskipun kempen ini hanya melibatkan pemilihan dalaman parti.

Rafizi merupakan salah seorang calon Timbalan Presiden PKR bagi sesi pemilihan 2025-2028. Beliau dicabar oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam persaingan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button