BERITA SEMASALUAR NEGARA

Serangan udara tentera Myanmar ragut 22 nyawa, termasuk 20 kanak-kanak

DEPEYIN – Serangan udara tentera Myanmar yang menyasarkan sebuah sekolah di kampung Oe Htein Kwin, wilayah Sagaing, semalam meragut 22 nyawa, termasuk 20 kanak-kanak.

Serangan sekitar pukul 10 pagi itu menyasarkan sekolah yang terletak kira-kira 100 kilometer dari pusat gempa bumi yang melanda negara tersebut pada 28 Mac lalu.

Bangunan sekolah berwarna hijau kini hanya tinggal rangka, dengan bumbung logamnya remuk dan dinding bata berlubang akibat letupan.

“Setakat ini, 22 orang disahkan terkorban – 20 daripadanya ialah murid sekolah dan dua lagi merupakan guru.

“Kami cuba arahkan murid-murid berlari berselerak untuk berlindung, tetapi pesawat pejuang itu terlalu pantas dan terus melepaskan bomnya.

“Saya belum sempat kumpul semua maklumat mangsa kerana ibu bapa terlalu cemas dan tergesa-gesa membawa pulang anak mereka,” kata seorang guru wanita berusia 34 tahun yang enggan namanya disiarkan.

Sementara itu, seorang pegawai pendidikan dari kawasan berkenaan mengesahkan angka korban tersebut.

“Ya, setakat yang kami tahu, 22 nyawa terkorban dalam serangan itu. Ini satu tragedi besar yang tidak dapat dimaafkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, pasukan maklumat junta Myanmar menafikan laporan tersebut dan menyifatkannya sebagai berita palsu.

“Tiada serangan udara dilakukan ke atas sasaran bukan ketenteraan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak tentera.

Myanmar bergolak sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 yang menggulingkan kerajaan awam.

Sepanjang tempoh itu, tentera menghadapi tentangan sengit daripada gerila anti-kudeta dan kumpulan etnik bersenjata yang telah lama aktif.

Serangan itu berlaku dalam keadaan tentera Myanmar telah mengumumkan gencatan senjata selama sebulan bagi membolehkan proses pemulihan selepas gempa bumi besar yang mengorbankan hampir 3,800 nyawa.

Setiausaha Agung Persekutuan Setiausaha Agung Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC), Jagan Chapagain, menyatakan keperluan bantuan kemanusiaan adalah amat mendesak.

“Kebimbangan saya adalah masa tidak menyebelahi kita. Ribuan mangsa masih tinggal di luar tanpa tempat perlindungan tetap, sementara musim tengkujuh semakin hampir.” ujarnya.

Menurut laporan terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 200 orang awam terbunuh dalam sekurang-kurangnya 243 serangan oleh tentera sejak gempa berlaku, termasuk 171 serangan udara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button