BERITA SEMASA

Penularan video ulama didakwa solat Jumaat dengan bunian, JHEAIK sudah ambil keterangan pendakwah

ALOR SETAR – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) selesai mengambil keterangan seorang pendakwah terkenal berhubung penularan video berkaitan solat Jumaat seorang ulama bersama bunian, semalam.

Menurut Pengarah JHEAIK, Datuk Abd Ghani Zainudin, proses berkenaan dijalankan di pejabat jabatan itu di sini, kira-kira pukul 10 pagi, lapor BH Online.

Katanya, pendakwah terbabit hadir secara bersemuka bagi memberi keterangan lanjut kepada Timbalan Pengarahnya, Datuk Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim berhubung kenyataannya yang menjadi perhatian umum, baru-baru ini.

“Pendakwah terbabit mengakui mengeluarkan kenyataan itu dalam satu majlis pada 11 November 2023. Proses mengambil keterangan berjalan lancar dan kertas siasatan kini sudah disiapkan.

“Pihak kami akan menyerahkan laporan lengkap itu kepada Jabatan Mufti Negeri Kedah untuk siasatan dan penelitian selanjutnya,” katanya, hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut, JHEAIK memulakan siasatan terhadap video terbabit susulan aduan dan maklum balas daripada orang ramai yang mempersoalkan kandungan ceramah itu.

Video tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang mempertikaikan kesahihan dan kewajaran dakwaan berkenaan, apatah lagi yang membabitkan ibadah utama dalam Islam.

Abd Ghani kemudiannya menambah, keputusan mengenai sebarang bentuk tindakan atau langkah susulan akan ditentukan pihak Jabatan Mufti berdasarkan hasil siasatan dan pertimbangan jabatan berkenaan.

“Sehubungan itu, JHEAIK menasihatkan semua pendakwah supaya lebih berhati-hati dalam menyampaikan ceramah, khususnya kenyataan berkaitan perkara ghaib yang tidak dapat dibuktikan dan boleh mengundang kekeliruan dalam kalangan umat Islam,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button