MSA gesa tindakan tegas terhadap penganjuran Songkran oleh pihak bukan Siam
KUALA LUMPUR – Persatuan Siam Malaysia (MSA) kesal terhadap tindakan segelintir pihak berkuasa yang didakwa kurang sensitif apabila meluluskan permit bagi penganjuran sambutan perayaan Songkran oleh pihak bukan daripada komuniti Siam.
Presidennya, Sam Maark Suvanphet berkata, tindakan itu mencemar imej dan maksud sebenar Songkran, iaitu sambutan Tahun Baharu masyarakat Siam yang kaya dengan nilai keagamaan serta warisan tradisi.
“Songkran bukan sekadar acara budaya, tetapi perayaan suci yang penting kepada identiti masyarakat Siam di Malaysia. Apabila ia dianjurkan tanpa pemahaman mendalam terhadap adat dan sensitiviti budaya, ia hanya menjadi pesta air yang jauh menyimpang daripada makna asalnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau merujuk insiden penganjuran Songkran di Pulau Pinang dan 1 Utama yang menyaksikan insiden pergaduhan dan disifatkan tidak menghormati nilai kesucian perayaan itu.
Sehubungan itu, MSA menggesa kerajaan dan pihak berkuasa agar lebih bertanggungjawab dan peka ketika meluluskan permohonan permit bagi acara melibatkan budaya minoriti Bumiputera.
Menurutnya, hanya pihak yang benar-benar memahami dan mewakili warisan budaya tersebut wajar diberikan kebenaran menganjurkan Songkran.
Dalam pada itu, MSA merakam penghargaan kepada Kementerian Perpaduan Negara atas kejayaan menganjurkan sambutan Songkran peringkat kebangsaan di Pengkalan Hulu, Perak sempena ulang tahun ke-50 daerah itu baru-baru ini.
“Inisiatif ini bukan sahaja mengiktiraf kepentingan budaya komuniti Siam, malah berjaya mengangkat Songkran sebagai simbol perpaduan nasional dan produk pelancongan warisan budaya, seiring aspirasi Malaysia Madani,” katanya.
MSA turut menggesa kerajaan agar terus memainkan peranan lebih besar dalam melindungi kepentingan komuniti Bumiputera minoriti, terutama dari segi pemeliharaan warisan budaya dan pengawalseliaan acara awam yang berkaitan.
“Persatuan ini komited bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan Songkran terus dipelihara dalam bentuk yang asli dan bermakna, demi menghormati legasi budaya komuniti Siam di negara ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



